SATHIA (tengah) memantau sesi latihan FELDA United bagi menghadapi Kedah pada separuh akhir pertama Piala Malaysia.
SATHIA (tengah) memantau sesi latihan FELDA United bagi menghadapi Kedah pada separuh akhir pertama Piala Malaysia.
Rodly Fadly


Kuala Lumpur: Pengendali FELDA United, B Sathianathan berharap pemain tengah, Stuart Wark sempat pulih daripada kecederaan lutut kanan bagi menghadapi Kedah pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Ahad ini.

Ini kerana beliau amat memerlukan kudrat pemain naturalisasi kelahiran Scotland itu bagi mengimbangi keampuhan jentera tengah lawan yang dikemudikan oleh Liridon Krasniqi.

“Wark adalah pemain penting bagi kami. Sebagai pemain tengah bertahan, dia memainkan peranan sangat berkesan sepanjang bersama FELDA musim ini.

“Walaupun tidak menjaringkan gol tapi dia mampu mengawal jentera tengah dengan baik. Sudah tentu dalam perlawanan penting seperti Ahad ini, kami sangat memerlukan tenaganya.

“Apatah lagi Kedah mempunyai rangkaian pemain tengah yang bagus terutama Liridon yang memerlukan pemain seperti Wark untuk mengimbanginya.

“Saya akui jika Wark tidak dapat bermain, ia sedikit sebanyak akan menjejaskan persembahan kami. Oleh itu saya sangat berharap dia sempat pulih,” ujar Sathianthan.

Kecuali kecederaan Wark, Sathianathan berkata FELDA berada dalam momentum terbaik menjelang perlawanan itu yang dianggapnya bakal berlangsung sengit.

Justeru, jurulatih berpengalaman itu mengingatkan pemainnya agar tidak mengulangi kesilapan ketika tewas 1-3 kepada PKNP FC pada suku akhir pertama sehingga memaksa mereka bekerja keras untuk memenangi perlawanan kedua 4-1.

“Kami kalah dalam perlawanan itu kerana pemain terlalu ghairah menyerang sehingga mengabaikan pertahanan. Akibatnya gol kami bolos tiga kali sebaliknya banyak peluang kami persiakan.

“Kami bernasib kerana lawan adalah PKNP, pasukan yang kurang pengalaman. Kami boleh bangkit dalam perlawanan kedua walaupun ketinggalan dengan jaringan agak besar.

“Tapi, jika situasi sama berlaku dalam perlawanan menentang Kedah Ahad ini, peluang untuk bangkit memang sukar apatah lagi kami akan bermain di gelanggang mereka pada separuh akhir kedua kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 6:26 AM