NOORBAIZURA memberi Adib susu melalui tiub. FOTO Amran Yahya
NOORBAIZURA memberi Adib susu melalui tiub. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


Ibu kepada dua orang anak merayu orang ramai menghulurkan sumbangan bagi membiayai pembedahan anak lelakinya yang mengidap ‘nager syndrome’ atau ketiadaan rahang yang menyebabkan mulutnya membengkak, sejak tahun lalu.

Noorbaizura Mohd Farid, 35, yang menetap di Kampung Kuala Jempol di sini, memerlukan RM27,000 untuk pembedahan anaknya, Adib Rasul Dzulkarnain berusia 21 bulan untuk memasang rahang.

Menurutnya, Adib perlu melakukan dua pembedahan untuk memasang rahang bagi membolehkan dia menjalani kehidupan seperti biasa.

"Anak kedua saya ini lahir secara normal di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, namun dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami masalah penafasan.

"Ketika mengandungkan Adib, saya tidak menghadapi masalah langsung. Sebaik dilahirkan, dia tidak menangis dan pihak perubatan mendapati dia mengalami masalah pernafasan.

"Memandangkan keadaannya semakin serius, Adib terus dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.

"Dia ditempatkan di ICU HTJ selama enam bulan dan terpaksa bernafas melalui mulut dengan bantuan mesin pernafasan," kata Noorbaizura.

Menurutnya, pada 27 Jun 2016, pihak hospital mengambil keputusan melakukan pembedahan di leher untuk pernafasan.

"Pembedahan dilaksanakan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan Adib mampu bernafas melalui leher.

"Adib disahkan mengidap penyakit itu ketika dirawat di PPUM selama dua bulan sebelum dia dibenarkan pulang, namun saya perlu membeli dua peralatan berharga RM9,000 untuk kegunaan di rumah," katanya yang turut diberitahu hanya dua penduduk di Malaysia mengidap penyakit ini.

"Pembedahan pertama selamat dilakukan di PPUM pada 10 Julai 2017 lalu dan pembedahan kedua dijadualkan pada Disember nanti.

"Bagaimanapun, kami mengalami masalah kewangan. Saya sudah berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada Adib manakala suami, Dzulkarnain A Hawan, 33, hanya bekerja di Pos Malaysia.

"Kos pembedahan pertama pun masih belum dijelaskan. Dalam situasi begini, saya merayu orang ramai supaya menghulurkan bantuan bagi membolehkan anak saya menjalani pembedahan dan pulih seperti kanak-kanak lain," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank bernombor 155032257905 atas nama Noorbaizura Mohd Farid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 6:03 PM