SHARIFAH Norlita bersama suami Iskandar Dzulkarnain Amlan dan anaknya Maryam Dafiya, 6 melihat anak keduanya, Yusuf Haris, yang menghidap sakit kronik ketika temui di Pekan. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
SHARIFAH Norlita bersama suami Iskandar Dzulkarnain Amlan dan anaknya Maryam Dafiya, 6 melihat anak keduanya, Yusuf Haris, yang menghidap sakit kronik ketika temui di Pekan. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


TANGGAL 19 Ogos ini bakal menjadi penentu buat bayi istimewa Yusuf Haris Iskandar Dzulkarnain, penghidap sindrom ‘pfieffer’ apabila bakal menjalani pembedahan tulang tengkorak kepala dan tulang muka di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menyelamatkan penglihatannya daripada buta.

Pembedahan yang dijangka memakan masa 10 hingga 14 jam itu juga bakal menentukan nasib bayi berusia setahun itu untuk meneruskan kehidupan dengan membantunya bernafas dengan lebih mudah.

Ibunya, Sharifah Norlita Syed Abd Rahman, 38, berkata anak lelakinya dilahirkan dalam keadaan tidak seperti bayi lain apabila disahkan menghidap sindrom ‘pfieffer’ yang mana penyakit itu sangat jarang ditemui.

Katanya, doktor mula mengesan sesuatu yang tidak kena pada Yusuf Haris sewaktu kandungannya mencecah 36 minggu apabila ukuran kepalanya tidak normal seperti bayi lain.

“Bila Yusuf dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) doktor segera menempatkannya di unit rawatan rapi utk mengenal pasti sindrom yang berlaku ke atas anak saya.

“Selepas itu, baru saya dimaklumkan mengenai sindrom yang berlaku ke atas Yusuf. Saya difahamkan ia berkemungkinan terjadi ketika dalam kandungan yang mana sel tidak dapat membentuk secara normal menyebabkan bahagian kepala membesar secara tidak sekata,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, sindrom itu turut menyebabkan mata anaknya sedikit tersembul daripada kelopak mata disebabkan tumbesaran kepalanya yang tidak seperti insan lain.

Beliau berkata, selain itu ia turut mengganggu pernafasan Yusuf Haris yang perlu bernafas menggunakan tiub pernafasan.

“Untuk minum susu juga dia (Yusuf) menggunakan tiub dan memerlukan penjagaan rapi yang mana setiap tiga jam saya dan suami (Iskandar Dzulkarnain Amlan, 35) perlu susukan dia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 4:30 AM