BRONT PALARAE
BRONT PALARAE
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Bront Palarae, 43, membanggakan negara apabila memenangi trofi Persembahan Watak Utama Lelaki-Digital untuk lakonan dalam siri The Bridge 2 pada Anugerah Televisyen Asia ke-25 yang berlangsung, kelmarin.

Bront berkata, kemenangan itu adalah hasil titik peluh semua yang terbabit dalam produksi drama tayangan platform penstriman, Viu berkenaan.

"Saya menerima anugerah ini bagi mewakili keseluruhan pasukan. Tahniah Min Lim dan pasukannya di Double Vision yang bekerja keras dalam projek ini. Begitu juga, Chi-Ren Choong dan pasukan penulis yang memberikan karya indah ini untuk dilaksanakan.

"Kepada Thean-jeen Lee, Jason Chong, dan Zahir Omar yang hadir ke set (penggambaran) setiap hari sentiasa menyeronokkan buat saya. Buat rakan pelakon, kehadiran tenaga, dan kegigihan kamu mengangkat musim kedua (The Bridge) ini ke tahap berbeza.

"Kepada orang-orang hebat di Viu, terima kasih. Tanpa keyakinan serta kepercayaan dalam pasukan kamu, malam ini tidak akan terjadi. Akhir sekali, saya ingin dedikasikan kenangan ini buat isteri, Rozi dan anak perempuan, Adeena," katanya.

The Bridge 2 arahan TJ Lee, Jason Chong dan Zahir Omar berjaya mendapat 11 pencalonan keseluruhannya di anugerah terbabit. Malah, Bront turut tercalon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik tetapi, rezeki tidak berpihak padanya.

Selain dua kategori membabitkan Bront, kategori lain ialah Siri Terbaik, Adaptasi Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Wan Hanafi Su dan Miller Khan), Fiksyen Digital Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik Digital (Rebecca Lim) dan Pelakon Lelaki Terbaik Digital (Ario Bayu).

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 3:50 PM