NADZMI Adhwa. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
NADZMI Adhwa. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ardini Sophia Sina


Dua tahun menceburi dunia seni, laluan Nadzmi Adhwa, 24, sebagai pelakon bukan saja dipermudahkan tetapi diberi peluang melebarkan sayap sebagai pengacara.

Pelakon yang mula berlakon menerusi telefilem Tol Gate Asmara itu gembira kerana rezekinya kini mencurah-curah tetapi tidak mahu rasa terlalu selesa.

Nadzmi bersyukur kerana setiap angan-angan yang pernah diimpikan suatu ketika dulu makin tercapai. Dia juga mahu membuktikan mampu mendaki kejayaan tanpa perlu bersandarkan cerita sensasi.

“Saya juga berusaha memperbaiki diri dan sanggup mengikuti kelas lakonan persendirian untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu lakonan.

“Ia memang berkesan dan sangat membantu ketika saya melakonkan sesuatu watak,” katanya.

Tidak mahu hanya dilihat pada tahap sama, baginya proses pembelajaran tidak harus terhenti apabila bergelar pelakon.

Dia juga sedar masih banyak yang perlu diasah dan perlukan kelas untuk belajar lebih banyak teknik lakonan.

“Apabila lakonan semakin baik, barulah saya dapat meneroka lebih banyak watak yang mencabar. Keyakinan untuk mencuba karakter lebih berat itu akan timbul,” katanya.

Turut dikenali kerana rambut kembangnya, Nadzmi atau Nadzmi Adhwa Nor Adzmi tidak teragak-agak untuk ‘mengorbankan’ rambutnya andai dia perlu berbuat sedemikian.

Katanya, sebelum ini pun dia pernah meluruskan rambut semata-mata untuk memenuhi tuntutan watak. Bagaimanapun katanya, buat masa ini dia perlu mengekalkan imej ini kerana ia melambangkan logo untuk program travelog Jalan Jalan Makan Angin (JJMA).

“Kalau lihat pada logo JJMA, pasti perasan logo itu adalah gambar rambut kembang. Saya tidak boleh lakukan apa-apa perubahan buat masa ini kerana rambut saya inilah salah satu ‘trademark’ program itu.

“Tapi kalau ada karakter yang memerlukan saya untuk mengubah penampilan mahupun gaya rambut, saya tidak akan teragak-agak untuk melakukannya,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu tidak menyangka langkah kakinya dalam bidang pengacaraan terbuka luas. Selain JJMA, Nadzmi juga pernah menjadi pengacara untuk Rentak Juara 2017 dan Bila Bujang Masuk Dapur.

Pun begitu, Nadzmi ingin seimbangkan kedua-dua cabang seni itu. Katanya, dia ingin berlakon tetapi rezeki dalam bidang pengacaraan juga datang pada waktu yang sama.

“Saya tidak boleh menolak tawaran kerana itu adalah ruang untuk saya mencuba bidang baru. Saya juga sifatkan ia ruang untuk mencari ilmu baru.

“Semakin kerap kita lakukan pekerjaan itu, semakin baguslah kita. Namun, saya akan cuba seimbangkan antara lakonan dan pengacaraan,” katanya.

Waktu sama, Nadzmi akui ingin mencuba nasib sebagai penyanyi. Pernah muncul dengan lagu Seharusnya Cinta Setia duet dengan Mia Mentor, dia menyifatkan cubaan untuk terjun ke cabang seni suara bukan kerana tamak tetapi sekadar mencuba sesuatu yang baru.

Baginya, setiap cabang seni yang diceburi memberi pengalaman dan cabaran berbeza. Setiap satu akan membentuk keperibadian dan bakatnya sebagai anak seni.

“Saya tidak mahu mengehadkan diri melakukan hanya beberapa perkara. Saya tidak hanya berlakon, menjadi pengacara dan penyanyi tetapi juga cuba melakukan kerja belakang tabir.

“Dunia seni tidak terbatas hanya di atas pentas mahupun di hadapan kamera. Tidak salah untuk belajar kerja di belakang tabir agar pengetahuan kita lebih luas dan tahu proses penghasilan program untuk televisyen,” katanya.

Bakal muncul dalam filem Safari Mall memegang watak utama berganding dengan Eyka Farhana, ini filem keduanya tetapi kali pertama diberi kepercayaan sebagai teraju utama.

Turut dibintangi Namron, Radhi Khalid, Soffi Jikan dan Bront Palarae, Nadzmi sedar posisinya sebagai artis baru dalam filem itu.

“Dikelilingi pelakon yang punya nama besar dalam industri memberikan tekanan besar kerana saya harus menunjukkan prestasi sama seperti mereka.

“Ia adalah satu perkara yang baik. Situasi itu mendorong saya untuk ‘memaksa’ diri melakukan lebih baik daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.

“Saya beruntung kerana semua pelakon di lokasi penggambaran tidak lokek ilmu dan banyak membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 3:32 AM