Kepala kanak-kanak tersangkut pada lubang katil urut di pusat mengurut di Jala Temenggong, Taman Ros, hari ini. FOTO ihsan bomba
Kepala kanak-kanak tersangkut pada lubang katil urut di pusat mengurut di Jala Temenggong, Taman Ros, hari ini. FOTO ihsan bomba
Farah Suhaidah Othman


KANAK-kanak perempuan berusia tiga tahun tidak mampu bergerak hampir satu jam selepas kepalanya tersangkut pada lubang katil urut di sebuah rumah urut di Jalan Temenggong, Taman Ros, pagi ini.

Dalam kejadian 11.17 pagi itu, Jessy Foong Jin Eu dipercayai bermain di bawah katil berkenaan sebelum memasukkan kepalanya menerusi lubang itu dari bawah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada keluarga mangsa sebelum pegawai dan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba anggota bomba mendapati kepala mangsa tersangkut pada lubang kepala katil urut berkenaan.

“Anggota bomba bertindak menggunakan gunting dan pisau untuk memotong kulit katil yang diperbuat daripada PVC (polivinil klorida) serta span di keliling leher mangsa hingga kepala mangsa dapat dikeluarkan.

"Operasi mengeluarkan kepala mangsa mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa bagaimanapun tidak cedera dan diserahkan kepada keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 2:35 PM