Anggota bomba menyerahkan Ahmad Amsyar Naufal kepada bapanya selepas dibawa keluar dari kereta yang terkunci di Taman Mutiara. FOTO ihsan ahli ICJ.
Anggota bomba menyerahkan Ahmad Amsyar Naufal kepada bapanya selepas dibawa keluar dari kereta yang terkunci di Taman Mutiara. FOTO ihsan ahli ICJ.
Azahar Hashim


BAPA kepada kanak-kanak lelaki berusia setahun lima bulan terpaksa meminta bantuan bomba untuk menyelamatkan anaknya yang terperangkap di dalam kereta selama sejam di Taman Mutiara, Sungai Kob, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Ahmad Amsyar Naufal terperangkap dalam Honda Accord ketika bapanya, Ahmad Ishak, 48, masuk ke rumah untuk mengambil dompet.

Ahmad berkata, ketika kejadian itu mereka ingin pulang ke kampung di Kuala Ketil.

Menurutnya, selepas menghidupkan enjin dan penghawa dingin, dia keluar semula untuk mengambil dompet namun sebaik kembali, dia terkejut melihat pintu berkunci.

"Anak saya juga menutup penghawa dingin. Saya cuba membuka pintu itu dengan pelbagai cara namun gagal.

"Selepas sejam, anak saya mula menangis menyebabkan saya terus menghubungi pihak bomba kerana bimbang dengan keselamatannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mujur anaknya berjaya diselamatkan dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Mohd Azizi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.45 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima anggota serta sebuah jentera.

“Pintu berjaya dibuka dalam masa lima minit dan kami menyelamatkan kanak-kanak itu sebelum menyerahkan kepada keluarga.

"Operasi menyelamatkan mangsa tamat pada 11 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 6:40 PM