AMRI (kiri) dan Thanabalan (kanan) bakal jalani ujian bersama skuad Sabah.
AMRI (kiri) dan Thanabalan (kanan) bakal jalani ujian bersama skuad Sabah.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua bekas pemain kebangsaan, Amri Yahya dan N Thanabalan mengintai peluang untuk menyarung jersi Sabah bagi menghadapi saingan musim baharu Liga Super.

Amri, 40, dan Thanabalan, 25, kini berada di Kota Kinabalu untuk mengikuti sesi pemilihan yang dijangka bakal diadakan tidak lama lagi.

Pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto ketika dihubungi mengesahkan dua pemain itu akan menyertai sesi pemilihan skuad Badak.

Menurutnya, walaupun kedua-duanya mempunyai latar belakang baik dalam karier bola sepak, ia bukanlah jaminan untuk terus menyarung jersi Sabah.

"Memang mereka datang untuk ujian pemilihan tetapi saya ingin tegaskan di sini, hanya ujian pemilihan akan menentukan sama ada mereka akan bersama kami atau tidak.

''Saya tidak mahu memilih pemain berdasarkan pencapaian atau latar belakang mereka sebelum ini tetapi kalau mereka berjaya buktikan keupayaan dan sesuai dengan 'game plan' pasukan, kenapa tidak?,'' katanya.

Amri sebelum ini beraksi bersama Selangor, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Melaka United manakala pasukan terakhir disertainya ialah Sarawak United FC.

Penyerang itu juga membuat 63 penampilan bersama Harimau Malaya dan berjaya menghasilkan 13 gol.

Sementara itu, Thanabalan pula sebelum ini pernah beraksi dengan Negeri Sembilan, Felcra dan Kedah manakala pasukan terakhir disertainya ialah Perak II.

Dia juga pernah mewakili skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) dan B-23.

Terdahulu, Sabah Football Club (FC) turut mengumumkan rakan senegara Kurniawan, Sofie Imam Faizal kembali dilantik sebagai jurulatih kecergasan pasukan itu.

Sementara itu, bekas penyerang import sensasi Sabah, Scott Ollerenshaw sangat teruja apabila diberi peranan sebagai Pengarah Teknikal Sabah Football Club (FC) musim ini.

Katanya, beliau telah lama melihat perkembangan bola sepak di Malaysia khususnya di Sabah dan berharap kehadirannya dalam Sabah FC dapat menjadikan mereka kembali digeruni.

''Apabila saya diminta untuk kembali (bersama Sabah), saya sangat teruja kerana hati saya masih di sini. Saya mengikuti perkembangan pasukan Sabah yang telah melalui tahun-tahun kurang memberangsangkan.

''Saya teruja untuk kembali mencurah khidmat bersama Sabah kerana saya melihat beberapa perkara yang boleh dilakukan di sini,'' katanya dalam temuramah yang disiarkan dalam Facebook rasmi Sabah FC, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 8:43 PM