NIK Akif perkuat jentera TFC. FOTO TFC
NIK Akif perkuat jentera TFC. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) tidak menunggu lama apabila merantai pemain baharu ketiganya musim ini, Nik Akif Syahiran Nik Mat bagi memantapkan lagi posisi tengah skuad Penyu itu bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Kehadiran tonggak kebangsaan Bawah 23 Tahun itu menjadikan 'ubi muda' Kelantan kedua disambar TFC setakat ini selepas mengikat kontrak pertahanan tengah skuad The Red Warriors, Shahrul Nizam Ros Hasni pagi tadi.

"Nik Akif Syahiran sah menjadi pemain TFC musim depan, pemain berusia 21 tahun itu mengikat kontrak selama dua tahun.

"Pemain itu teruja beraksi dengan TFC lebih-lebih lagi perpindahan pertama sepanjang kariernya dan keputusan pemain kelahiran Kuala Krai memilih TFC juga kerana dia mahukan cabaran baharu yang lebih bermakna.

"Kehadiran Nik Akif yang memiliki kualiti sebagai 'arkitek' dilihat mampu merencana dan memperkuatkan lagi jentera pasukan TFC. Pemain itu akan memakai jersi bernombor 22," menurut kenyataan dikeluarkan media TFC sebentar tadi.

Sebelum ini, pemain berketinggian 1.64 meter itu yang pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan diintai beberapa pasukan untuk mendapatkan khidmatnya termasuk TFC.

Namun pemain tengah itu tertarik dengan pengurusan pasukan TFC Sdn Bhd sebelum menandatangani kontrak petang ini.

Pemain itu dijangka bergandingan dengan seorang lagi pemain tengah kelahiran Kelantan, Faiz Nasir selain tonggak import yang belum diumumkan lagi selepas pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov tidak lagi bersama pasukan itu musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 10:21 PM