GAMBARAN hotel baru Ronaldo (tengah) yang memiliki 150 bilik. FOTO Agensi
GAMBARAN hotel baru Ronaldo (tengah) yang memiliki 150 bilik. FOTO Agensi
Agensi

London: Cristiano Ronaldo kini sedia menyaingi bekas rakan sepasukan di United dengan membuka hotel mewah baharu di Manchester.

Bintang berusia 35 tahun yang popular di Old Trafford itu diberikan pelan kebenaran untuk membina hotel 11 tingkat yang dijangka dibuka pada 2023. Ia mempunyai 150 bilik termasuk bar di tingkat bawah dan teres berbumbung di tingkat atas yang dibuka kepada tetamu dan orang awam.

Pembukaan hotel itu bermakna Ronaldo bakal bersaing dengan Gary Neville dan Ryan Giggs yang bekerjasama memiliki dua hotel di bandar itu.

Gandingan kelas '92 itu kali pertama melancarkan dengan jayanya 'Hotel Football' pada 2015 selain membeli hotel Stock Exchange lapan tahun lalu dengan harga £1.5 juta (RM8.17 juta) sebelum melaburkan £20 juta (RM108 juta) lagi untuk pengubahsuaian dan dibuka secara rasmi tahun lalu.

RONALDO bergandingan dengan Neville ketika beraksi bersama Man United. FOTO Agensi
RONALDO bergandingan dengan Neville ketika beraksi bersama Man United. FOTO Agensi

Hotel Ronaldo akan dibina di Northern Quarter dan mendapat sentuhan arkitek Feilden Clegg Bradley Studios.

Jurucakap kumpulan hotel mengumumkan: "Tiada lagi tempat lebih sesuai - ini lah bandar di mana Ronaldo memulakan karier antarabangsanya di Man United pada 2003 dan kali pertama memakai jersi nombor 7."

Ronaldo yang kini beraksi bersama Juventus sudah pun memiliki hotel di tempat kelahirannya di Funchal, Madeira dan Lisbon.

Beberapa hotel berjenama Pestana CR7 dijangka turut berdiri megah di New York, Madrid, Marrakech dan Paris tetapi pembinaan hotel di ibu kota Sepanyol itu terpaksa ditangguhkan susulan krisis global.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 8:55 PM