Neville (dua dari kanan) bersama Giggs (dua dari kiri) di hadapan hotel Stock Exchange. FOTO Stock Exchange Hotel
Neville (dua dari kanan) bersama Giggs (dua dari kiri) di hadapan hotel Stock Exchange. FOTO Stock Exchange Hotel
Agensi/Esme Jo

DUA pemain legenda Manchester United, Gary Neville dan Ryan Giggs pernah menikmati detik gemilang dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) kini beralih angin menyertai bidang perniagaan pula.

Dua bekas pemain United terbabit memperkenalkan perniagaan terbaru mereka mengendalikan Hotel Stock Exchange (SEH) yang akan dibuka pada 15 November depan.

Neville dan Giggs membeli salah satu bangunan paling bersejarah di Manchester tujuh tahun lalu pada harga £1.5 juta (RM7.7j) sebagai sebahagian daripada skim pembangunan semula.

Antara bilik terdapat di hotel. FOTO Stock Exchange Hotel
Antara bilik terdapat di hotel. FOTO Stock Exchange Hotel

Bangunan yang dibina pada 1906 itu akan memulakan perniagaan kepada orang awam untuk kali pertama sejak 1970-an selepas membuat pelaburan sekitar £20j (RM104j).

Hotel butik yang terletak di tengah Manchester itu adalah salah satu daripada tiga hotel bertaraf lima bintang terdapat di bandar berkenaan menawarkan 40 bilik penginapan termasuk dua suite ‘signature’ dan residen penthouse berkeluasan 3,500 kaki persegi.

Dapur hotel itu akan dikendalikan oleh chef selebriti, Tom Kerridge yang memiliki dua bintang Michelin.

Tempahan untuk penginapan hotel itu sudah dibuka biarpun hotel yang akan menjadi ahli kumpulan hotel Perancis, Relais & Chateaux hanya akan beroperasi dalam tempoh empat bulan lagi.

Harga bilik paling rendah adalah £185 (RM960) satu malam dengan bilik lebih besar berharga £750 (RM3,900) pada hujung minggu.

Penthouse ditawarkan turut memiliki bumbung teres peribadi, tiga bilik mandi en-suite, dapur, dua lounge, ruang makan, bar dan gimnasium.

Neville memberitahu Business Live: "Kita bercakap mengenai salah satu bangunan paling bersejarah di Manchester yang dibuka semula kepada orang awam untuk kali pertama sejak 1970-an.

"Manchester akan sentiasa memiliki satu Stock Exchange dan kami mempunyainya di sini.

"Masih mengekalkan lantai Stock Exchange, kami akan mengawasinya dan kami akan memastikan ia disukai serta dikekalkan untuk orang Manchester (Mancunian) termasuk orang mengunjungi Manchester untuk 100 tahun lagi.

"Kami membawa bangunan terbabit kembali ceria dan kami bangga dengan usaha itu."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 8:11 PM