MIS menggunakan artroskopi terhadap lutut.
MIS menggunakan artroskopi terhadap lutut.
PARUT kesan pembedahan MIS.
PARUT kesan pembedahan MIS.
PARUT kesan pembedahan terbuka.
PARUT kesan pembedahan terbuka.

Secara konvensional, pembedahan selalu dikaitkan dengan pembukaan kulit yang panjang (extensile exposure) dan kesakitan yang teramat akibat retraksi struktur otot dan struktur badan sewaktu pembedahan. Ini menimbulkan banyak kesan serta komplikasi dari segi kesakitan dan pemulihan selepas pembedahan.

Melalui perkembangan sains dan teknologi perubatan terkini, konsep pembedahan invasif minimum diperkenalkan supaya pembedahan setanding kaedah terbuka dapat dilakukan dengan pembukaan kulit dan struktur badan yang kecil.

Pembedahan invasif minimum adalah kaedah pembedahan moden yang mengubah persepsi pesakit dan doktor terhadap pembedahan.

Ia dapat dilakukan dengan parut yang kecil, pendarahan yang minimum, kurang kesakitan, penginapan hospital yang lebih singkat selain pemulihan yang lebih pantas. Doktor dapat meneliti struktur badan dengan lebih tepat dengan bantuan teknologi perubatan terkini.

Pembedahan ortopedik invasif minimum menggunakan kaedah inovasi terkini dengan bantuan sama ada:

1. Artroskopi (pembedahan lubang kunci)

Pembedahan artroskopi antara pencapaian terunggul abad ke-20 dalam pembedahan ortopedik moden. Pada 1918, Dr Takagi (1888-1963) dari Universiti Tokyo kali pertama menggunakan prisipendoskopi bagi meneliti sendi lutut.

Sejak itu konsep pembedahan artroskopi berkembang maju daripada hanya diagnostik kepada rawatan (terapeutik). Pembedahan artroskopi adalah operasi ortopedik paling umum dilakukan hari ini.

Dengan hanya kamera tiub bersaiz empat milimeter (4mm) ke dalam sendi, doktor dapat meneliti struktur dalaman sendi dan seterusmya melakukan rawatan pembedahan yang tepat pada masa sama.

Dari segi teknikal, pembedahan artroskopi sesuai dilakukan pada setiap sendi badan seperti lutut, bahu dan buku lali. Contoh operasi artroskopi yang selalu dilakukan termasuk pembedahan penggantian ligamen ACL, pembaikan pelapik sendi (meniscus), pembaikan labral bahu dan pembedahan bahu beku (frozen shoulder).

Pembedahan artroskopi sangat penting terutamanya bagi ahli sukan. Contohnya, atlet yang mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament (ACL)’.

Penggantian ACL melalui artroskopi dapat memastikan penggantian ligamen pada lokasi yang tepat (dari segi anatomi) dan tidak merosakkan struktur isi badan yang berlebihan (luka pembedahan hanya 10 milimeter). Maka pemulihan dapat dilakukan segera dan menghasilkan kesan maksimum.

2. Pengimejan radiograf (radiography imaging).

Pembedahan ortopedik MIS juga dapat dilakukan dengan bantuan pengimejan radiografi (image intensifier) yang dapat menghasilkan gambar tulang seperti sinaran X dan paparkan pada skrin serta-merta.

Teknologi ini sangat membantu dalam pembedahan tulang patah dan pembedahan tulang belakang (spine surgery). Misalnya, pembedahan kepatahan tulang femur dengan ‘interlocking nail’. Pengecilan sasaran posisi tulang dan kejituan ILN (fixation) dapat dilakukan tanpa perlu membuka tempat kepatahan tulang, sebaliknya cuma luka pembukaan yang kecil pada pangkal tulang femur.

Penggunaan pengamatan imej juga penting dalam pembedahan MIS tulang belakang. Misalnya dalam rawatan tulang vertebra retak, pembedahan ‘vertebroplasty’ dapat dilakukan pada lapisan kulit dengan bantuan imej, hanya mengakibatkan luka pembedahan yang minimum.

Pengenalan implan dan peralatan moden turut membantu dalam perkembangan pembedahan ortopedik MIS.

Pembedahan penggantian sendi lutut dan pinggul turut dapat dilakukan dengan pembukaan luka yang lebih kecil menggunakan perkakas khusus.

Pembedahan ortopedik MIS adalah peningkatan penting dalam perkembangan pembedahan ortopedik masa kini. Pesakit kini tidak perlu lagi menderita luka atau parut besar, kesakitan serta sebarang komplikasi dalam situasi yang jelas lebih baik.

*Artikel ditulis oleh DR Bea Kia Chuang, Pakar Pembedahan Ortopedik & Ahli Persatuan Artroskopi Antarabangsa Amerika Utara (AANA).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:00 AM