RAMAI warga emas tak sedar alami patah tulang belakang kerana tidak rasai kesakitan.
RAMAI warga emas tak sedar alami patah tulang belakang kerana tidak rasai kesakitan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


LEBIH 1,000 pesakit warga emas yang mengalami kepatahan fragiliti (fragility fracture) akibat penyakit osteoporosis berjaya dirawat sejak 2018.

Rawatan ini dikendalikan oleh pasukan 'Fracture Liasion Service' (FLS) Jabatan Ortopedik dan Traumatologi, Hospital Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kejayaan itu melayakkan pasukan FLS menerima Anugerah Emas dalam kempen 'capture the fracture' daripada Persekutuan Osteoprosis Antarabangsa (IOF), tahun ini.

Ia hasil kerjasama yang membabitkan pelbagai disiplin kepakaran di HCTM.

Osteoporosis ialah penyakit kerapuhan tulang yang sering dihadapi warga emas dan dikategorikan sebagai penyakit tidak berjangkit.

Ketua Pasukan FLS yang juga Pakar Bedah Ortopedik HCTM, UKM Dr Juzaily Fekry Leong berkata, perkhidmatan FLS diwujudkan sebagai langkah meningkatkan mutu penjagaan holistik terhadap pesakit yang mengalami kepatahan fragiliti akibat penyakit osteoporosis.

Menurutnya, Malaysia dijangka mencapai status 'negara tua' menjelang 2030, berikutan 15.3 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk bakal berusia 60 tahun dan ke atas.

"Ini sebagai persediaan kepada Malaysia menjadi 'negara tua'. Oleh itu, keperluan terhadap perkhidmatan berkenaan sangat penting supaya lebih ramai warga emas yang mengalami kepatahan fragiliti dapat diberikan rawatan sebaik-baiknya.

"Tambahan pula, osteoporosis adalah penyakit senyap menyebabkan ramai warga emas tidak mengetahui dirinya mengalami kepatahan tulang belakang kerana tidak merasai sebarang kesakitan.

"Keadaan ini juga menyebabkan pesakit tidak mendapatkan rawatan di hospital. Mereka mengetahui masalah itu (kepatahan tulang belakang) apabila menjalani ujian imbasan, setelah mendapati ada 'kepelikan' pada tubuh seperti ketinggian yang semakin merendah,"katanya.

MALAYSIA mencapai status negara tua menjelang 2030.
MALAYSIA mencapai status negara tua menjelang 2030.

Beliau ditemui pada sambutan Minggu Osteoporosis 2022 di HCTM, sempena Hari Osteoporosis Sedunia yang disambut setiap 20 Oktober.

Hari Osteoporosis Sedunia diraikan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit osteoporosis dan menggalakkan mengambil langkah proaktif bagi mencegahnya.

Inisiatif ini dimulakan pada 1996 oleh Persatuan Osteoporosis United Kingdom dan disokong Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) serta International Osteoporosis Federation (IOF).

Dr Juzaily berkata, berbeza pula dengan kepatahan sendi pinggul akibat terjatuh, kesakitan dan tidak boleh berjalan mendorong pesakit segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Kita akan merawat pesakit secepat mungkin menerusi pembedahan dan Jabatan Ortopedik HCTM sudah menambah baik masa pembedahan untuk pesakit osteoporosis.

"Pesakit akan menjalani pembedahan penggantian sendi dalam tempoh kurang daripada 72 jam daripada masa kemasukan ke wad. Ini adalah piawaian antarabangsa bagi masa pembedahan berkenaan,"katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa jenis pembedahan untuk merawat kepatahan sendi pinggul, antaranya memasukkan besi di bahagian sendi pinggul yang patah dan penggantian sendi pinggul sama ada separuh atau sepenuhnya.

PENGAMBILAN ubat kalsium untuk merendahkan risiko kepatahan tulang kedua.
PENGAMBILAN ubat kalsium untuk merendahkan risiko kepatahan tulang kedua.

"Pembedahan ini penting dilakukan awal supaya pesakit boleh berjalan semula dan menjalani kehidupan yang lebih baik.

"Pesakit yang terlantar lama di atas katil, boleh membuatkan mereka hilang keyakinan untuk berjalan semula.

"Selain itu juga, boleh mengundang komplikasi seperti kudis tekanan (bedsores) dan jangkitan paru-paru,"katanya.

Dr Juzaily berkata, pesakit osteoporosis warga emas yang mengalami kepatahan tulang sendi pinggul dan jangkitan paru-paru mempunyai risiko kematian tinggi.

"Namun, ramai tidak mengetahui fakta ini dan terdapat rekod menunjukkan kadar kematian adalah di antara 30 hingga 50 peratus.

"Di samping itu, rawatan ini juga bertujuan hendak merendahkan risiko kepatahan tulang kedua, memandangkan risiko kepatahan tulang berulang adalah tiga hingga empat kali ganda tinggi.

"Oleh sebab itu, pesakit yang sudah menjalani pembedahan akan diberikan ubat-ubatan seperti kasium, vitamin dan antiosteoporosis bagi meningkatkan ketumpatan tulang serta mengelakkan kepatahan tulang,"katanya.

TULANG pinggul patah akibat osteoporosis.
TULANG pinggul patah akibat osteoporosis.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Farmakologi Fakulti Perubatan UKM Dr Wong Sok Kuan berkata, beliau antara penyelidik daripada Kumpulan Penyelidikan Metabolisme Tulang.

Katanya, kumpulan itu menjalankan kajian penyelidikan berimpak tinggi bagi membantu memahami kesihatan tulang dengan lebih mendalam dan seterusnya menangani osteoporosis.

"Pelbagai bahan semula jadi seperti vitamin E (tokotrienol) daripada minyak kelapa sawit, biji annatto, mas cotek, kacip fatimah, tongkat ali dan kaduk pernah dikaji kesannya terhadap tulang.

"Satu kajian yang saya lakukan semasa pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) adalah untuk mengkaji kesan tokotrienol pada tulang tikus makmal yang diberikan makanan tinggi lemak dan kolesterol.

"Hasil kajian mendapati tikus yang diberikan makanan tinggi lemak dan kolesterol selama tiga bulan menjadi lebih gemuk, mempunyai tekanan darah, aras gula, lemak serta kolesterol dalam darah tinggi.

"Pada masa yang sama, tulang tikus yang diberikan makanan tinggi lemak dan kolesterol didapati kurang padat atau mengalami osteoporosis selepas lima bulan,"katanya.

Dr Wong berkata, dalam kajian yang sama juga mendapati rawatan tokotrienol (diperoleh daripada kelapa sawit dan biji annatto) selama 12 minggu mampu mengurangkan tekanan darah, aras gula, lemak, kolesterol dalam darah serta meningkatkan ketumpatan tulang tikus mengalami osteoporosis.

SAMBUTAN Minggu Osteoprosis UKM 2022 di HCTM baru-baru ini.
SAMBUTAN Minggu Osteoprosis UKM 2022 di HCTM baru-baru ini.

"Hasil kajian ini selari dengan keputusan kajian penyelidikan berkenaan vitamin E sebelum ini yang diketuai oleh Profesor Farmakologi Profesor Dr Ima Nirwana Soelaiman.

"Kajian yang dijalankan sebelum ini menggunakan model haiwan lain seperti tikus pasca menopaus, tikus jantan berusia dan tikus aruhan hormon steroid.

"Selain itu, saya turut berminat untuk meneruskan penyelidikan bagi mengkaji mekanisme tindakan tokotrienol dalam memberi perlindungan kepada tulang.

"Tokotrienol dipercayai dapat mencegah atau merawat osteoporosis melalui keupayaannya dalam mengurangkan tindak balas keradangan dan tekanan oksidatif yang berlaku dalam badan.

"Meskipun kajian keberkesanan yang dijalankan mengenai penggunaan tokotrienol adalah kajian praklinikal, namun dijangka tokotrienol mempunyai kesan yang baik terhadap tulang manusia",katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 6:20 AM