KEKURANGAN mikronutrien ancaman besar kesihatan.
KEKURANGAN mikronutrien ancaman besar kesihatan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


RAMAI rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa kekurangan mikronutrien yang turut dikenali sebagai 'kelaparan tersembunyi' boleh menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan.

Satu daripada tiga keluarga Malaysia berpotensi mengalami kekurangan zat besi, kalsium, vitamin C dan D dalam diet harian.

Pada masa sama, satu pertiga daripada kanak-kanak Malaysia berusia bawah 12 tahun tidak mengambil vitamin D dan kalsium dalam jumlah disyorkan. Manakala dua pertiga dewasa Malaysia kekurangan vitamin D.

Selain di Malaysia, kelaparan tersembunyi adalah masalah kesihatan global yang turut dialami lebih dua bilion orang.

Sekurang-kurangnya, separuh daripada mereka terdiri dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang lima tahun.

Isu ini kerap berlaku dan tanpa disedari, kelaparan tersembunyi boleh menimbulkan kesan negatif terhadap kesihatan, termasuk tumbesaran terbantut, perkembangan kognitif dan fizikal yang kurang baik serta lemah sistem imun.

Kesan kekurangan mikronutrien mungkin menimbulkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan.

Selain itu, ia boleh menjejaskan pembangunan sosioekonomi, terutama dalam kalangan masyarakat pendapatan rendah yang selalunya kurang mendapat bekalan makanan berkhasiat.

Ahli Majlis Persatuan Pemakanan Malaysia Dr Amutha Ramadas berkata, kekurangan mikronutrien adalah ancaman besar kepada aspirasi untuk membina Malaysia yang lebih sihat.

Menurutnya, walaupun mikronutrien seperti vitamin dan mineral diperlukan dalam jumlah kecil, tetapi ia penting untuk tumbesaran, perkembangan dan kesejahteraan hidup.

KANAK-kanak perlu nutrisi mencukupi untuk tumbesaran.
KANAK-kanak perlu nutrisi mencukupi untuk tumbesaran.

"Ramai rakyat Malaysia tidak menyedari yang mereka kekurangan mikronutrien penting ini. Oleh itu, pendidikan pemakanan amat diperlukan supaya rakyat Malaysia boleh memilih diet sihat, seimbang dan lengkap pelbagai nutrisi.

"Kita perlu mendapatkan nutrisi daripada semua kumpulan makanan berdasarkan piramid makanan dalam diet harian, terutama bijirin penuh, buah-buahan, sayur-sayuran dan produk tenusu.

"Tujuannya supaya kita boleh memenuhi keperluan mikronutrien. Contoh, susu adalah sebahagian daripada elemen penting diet seimbang kerana mengandungi vitamin D dan B12, kalsium, zink dan magnesium," katanya.

Beliau yang juga Pakar Pemakanan dan Pensyarah Kanan di Monash University Malaysia berkata, mikronutrien dalam susu memberikan manfaat penting terhadap kesihatan.

"Kalsium diperlukan untuk membina tulang dan gigi yang kuat. Vitamin D penting untuk penyerapan kalsium dan fosforus dalam badan untuk membina serta mengekalkan tulang yang kuat.

RAMAI kanak-kanak berusia kurang lima tahun di dunia mengalami kekurangan mikronutrien.
RAMAI kanak-kanak berusia kurang lima tahun di dunia mengalami kekurangan mikronutrien.

"Magnesium terbabit dalam banyak sistem enzim yang mengawal selia pelbagai tindak balas biokimia dalam badan seperti fungsi otot dan saraf.

"Zat zink pula menyokong tumbesaran dan sistem imun yang sihat. Manakala vitamin B12 memainkan peranan penting dalam penghasilan sel darah merah.

"Susu adalah sumber protein yang baik dan penting untuk tumbesaran serta perkembangan minda," katanya.

Dr Amutha berkata, beberapa kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak mengambil produk tenusu yang secukupnya.

"Panduan Diet Malaysia mengesyorkan pengambilan dua sajian produk tenusu setiap hari bagi dewasa dan tiga sajian bagi kanak-kanak.

"Antara contoh satu sajian produk tenusu ialah segelas susu, secawan yogurt atau sekeping keju.

"Sesetengah jenis susu ditambah dengan mikronutrien seperti zat besi dan Vitamin C," katanya.

Menurutnya, zat besi adalah mineral penting yang diperlukan untuk menghasilkan hemoglobin di dalam sel darah merah. Hemoglobin berfungsi mengangkut oksigen ke seluruh badan.

"Vitamin C diperlukan untuk penghasilan kolagen iaitu komponen tisu penghubung yang diperlukan bagi penyembuhan luka dan juga menyokong fungsi imun.

"Persatuan Pemakanan Malaysia berhasrat meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan sihat untuk menggalakkan dan menambah baik amalan pemakanan serta kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 6:20 AM