DARI kiri, Chew, Eliza dan Jean ketika memperkenalkan Cerelac Nutripuffs.
DARI kiri, Chew, Eliza dan Jean ketika memperkenalkan Cerelac Nutripuffs.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Melihat tumbesaran anak kecil yang sempurna pasti menggembirakan setiap ibu bapa. Diet seimbang juga memastikan kanak-kanak dan bayi kekal cergas dan sihat sekali gus membentuk minda cerdas.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, diet yang sihat bagi kanak-kanak perlu mengandungi satu atau dua hidangan snek yang bersesuaian setiap hari.

Kajian menunjukkan terdapat satu dalam tiga kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Malaysia dan di antara 12 ke 24 bulan mengalami anemia akibat kekurangan zat besi, dan ini sangat membimbangkan.

Kajian turut menunjukkan pengenalan tekstur mengikut masa yang betul boleh menggalakkan pengambilan pelbagai makanan semasa dewasa kelak.

Sehubungan itu, sempena ulang tahun global Nestle yang ke-150, Nestle Malaysia melancarkan Cerelac Nutripuffs, snek bijirin kanak-kanak yang pertama bagi jenama terbabit di Asia.

Cerelac Nutripuffs diperbuat daripada beras, gandum penuh, dan buah-buahan, serta diperkaya dengan kandungan mikronutrien seperti zat besi, kalsium dan vitamin B1 yang tinggi.

Mikronutrien seperti zat besi, kalsium dan vitamin B1 adalah zat penting bagi menyokong pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak semasa tempoh pembesaran.

Reka bentuk dan tekstur snek itu memberi peluang kepada si kecil untuk meningkatkan kemahiran pengunyahan dan motor halus, di samping memberi keyakinan kepada mereka untuk makan sendiri dan seterusnya membantu kemahiran mengunyah.

Pengurus Pemasaran Konsumer Nestle Infant Nutrition Jean Ho berkata, makanan jejari ialah sebahagian daripada perkembangan si manja apabila mereka beralih daripada diet dalam bentuk cecair kepada makanan pejal.

“Ia langkah penting dalam peningkatan kemahiran motor halus dan koordinasi kanak-kanak. Cerelac Nutripuff diperbuat daripada bijirin gandum dan buah-buahan tanpa garam tambahan.

“Tambahan pula, ia dipanggang, bukan digoreng. Sebagai ibu bapa, kita tahu snek yang sihat memastikan si manja mendapat khasiat yang sewajarnya serta memberikan keseronokan apabila dia menjelajahi persekitarannya,” katanya.

Majlis pelancaran disaksikan oleh Pengarah Eksekutif Jualan Nestle Malaysia, Singapura dan Brunei, Chew Soi Ping dan Ketua Hal Ehwal Korporat, Nestle Malaysia, Eliza Mohamed, baru-baru ini.

Sementara itu, Chew berkata, pihaknya berbangga menjadi negara pertama di Asia yang melancarkan dan memperkembangkan inovasi terkini Nestle dalam kategori makanan jejari.

“Kami berbangga dengan pencapaian terbaru ini memandangkan kami sentiasa berusaha untuk memperbaiki kehidupan orang ramai. Ia bermula dengan Henri Nestle, yang mencipta bijirin berasaskan susu pertama di dunia pada 1867 yang menyelamatkan nyawa anak jiran beliau.

“Sejak itu, Nestle bekerja tanpa mengenal penat memperkenalkan penemuan baru dalam rangkaian produk kami, daripada penambahan probiotik untuk menyokong daya tahan semula jadi si kecil, sehinggalah resipi dengan zat besi bagi menangani gejala kekurangan zat besi di peringkat global.

“Tahun ini menandakan 150 tahun kami sebagai peneraju dalam bidang nutrisi, kesihatan dan kesejahteraan, dan kami sememangnya berbesar hati untuk terus mendukung komitmen ini bagi memastikan setiap kanak-kanak kecil menerima permulaan yang baik dalam hidup mereka,” katanya.

Cerelac Nutripuffs boleh didapati dalam dua perisa lazat - Pisang & Oren dan Pisang & Strawberi. Berharga RM9.90, snek itu boleh didapati di pasar raya utama seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 5:17 AM