Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob (tengah) melancarkan Kempen Inisiatif Bajet 2022 oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC). Turut sama Ahli Lembaga Pengarah HDC, Lokman Ibrahim (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffien Sahari. - FOTO NSTP
Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob (tengah) melancarkan Kempen Inisiatif Bajet 2022 oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC). Turut sama Ahli Lembaga Pengarah HDC, Lokman Ibrahim (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffien Sahari. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Petaling Jaya: Eksport halal negara dijangka terus meningkat melebihi RM42 bilion tahun ini, melepasi jumlah yang pernah direkodkan ketika prapandemik serta disokong dengan rantaian bekalan industri lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Berhad (HDC), Hairol Ariffien Sahari berkata, pihaknya yakin jumlah disasarkan itu dapat dicapai kerana industri halal di Malaysia semakin berkembang dan sudah menjadi salah satu tunjang kekuatan ekonomi negara.

Katanya, selain itu prestasi eksport halal negara juga sudah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan bagi tahun 2021 di mana terdapat peningkatan sebanyak 19 peratus daripada RM30.5 bilion kepada RM36.3 bilion iaitu hampir tiga peratus daripada keseluruhan eksport.

"Sebelum pandemik jumlah eksport negara pernah mencapai RM40 bilion dan kami percaya dengan pembukaan sempadan dan ekonomi, eksport halal akan kembali kukuh seperti sebelum pandemik," katanya pada sidang media selepas pelancaran Kempen Inisiatif Bajet 2022 - Jadikan Halal Pilihan Utama Anda di sini, hari ini.

Hadir merasmikan, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob.

Sementara itu, Hairol berkata bagi memastikan usaha untuk mewujudkan ekosistem halal yang kondusif khususnya bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bangkit kembali, HDC melalui Inisiatif Bajet 2022 telah merangka kempen Jadikan Halal Pilihan Utama Anda.

Beliau berkata, kempen yang akan berlangsung sepanjang tahun ini merangkumi dua program yang bertujuan memastikan jualan dan capaian produk halal negara dapat ditingkatkan.

Hairol berkata, ia membantu mengatasi jurang produk halal tempatan yang bersaing dengan produk halal dari luar negara.

"Kempen ini bermatlamat melonjakkan pertumbuhan industri halal ke tahap lebih tinggi dengan sasaran lonjakan penjualan purata PMKS halal yang difasilitasi antara 20 hingga 30 peratus.

"Dua program yang akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran ini adalah peningkatan kebolehpasaran produk halal PMKS secara fizikal selama tiga bulan di 64 cawangan pasar raya Lotus's dan empat cawangan pasar raya Lulu International Group.

"Yang kedua pula adalah program penjenamaan digital produk halal PMKS melalui kerjasama dengan Foodpanda Malaysia," katanya.

Sejumlah 500 usahawan PMKS halal dipilih untuk menyertai kempen terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 5:49 PM