HAIROL Ariffein. FOTO Arkib NSTP
HAIROL Ariffein. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Halal Development Corporation Bhd (HDC) akan memperkenalkan dana wakaf untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) membangunkan ekonomi halal di negara ini yang dijangka dilancarkan pada Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata ini adalah salah satu pendekatan baharu, selaras dengan objektifnya untuk membangunkan ekonomi Islam secara keseluruhan.

"Saya ingin menegaskan, HDC sudah meneroka dana wakaf untuk industri halal dan kami akan bekerjasama dengan Yayasan Wakaf Malaysia dan bank-bank yang bakal dilantik.

"Kami akan memberikan dana ini kepada PMKS untuk membeli aset-aset yang boleh diwakafkan," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama atlet paralimpik di sini, pada Selasa.

Hairol Ariffein berkata pihaknya berhasrat untuk membangunkan ekonomi Islam secara keseluruhan, memandangkan ia bukan sahaja meliputi industri halal, malah turut merangkumi perbankan, zakat, wakaf, takaful dan badan-badan Islam.

"HDC akan memasukkan elemen penting ekonomi Islam secara beransur-ansur dan akan menjadi pengupaya dengan menyediakan dana-dana wakaf tertentu kepada pembangunan ekonomi halal," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan penyedia takaful untuk membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana.

"Sebagai contoh, sekiranya produk-produk mereka mengalami kerosakan dan sebagainya, tiada insurans Islami yang boleh membantu takaful dengan mengurangkan risiko-risiko dalam perniagaan," katanya.

Hairol Ariffein berkata HDC telah memperuntukkan RM 4 juta untuk dana wakaf, menjadikan keseluruhan dana tambahan berjumlah RM 9.1 juta untuk melaksanakan program di bawah belanjawannya pada sepanjang tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 12:06 PM