Muhammad Najmir Razaman

PETALING JAYA: Halal Sourcing Partnership Program (HSPP) ialah inisiatif Halal Development Corporation Berhad (HDC) dalam usaha meningkatkan daya saing produk halal khususnya yang ditawarkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Ia adalah satu program fasilitasi yang memberi fokus membangunkan rantaian pengeluaran produk halal tempatan. 

HSPP mula diperkenalkan sejak tahun 2019 oleh HDC menerusi kerjasama rakan strategik syarikat multinasional dan syarikat besar tempatan seperti F&N, Lulu, Julies, Kewpie, The Store, Sri Nona dan Lotus's.

Objektif utamanya adalah untuk membuka peluang kepada PKS halal tempatan menjadi pembekal kepada rakan strategik terbabit atau menembusi pasaran antarabangsa sejajar dengan misi HDC untuk meningkatkan daya saing produk halal tempatan.

HDC berperanan memudahkan pertumbuhan ekonomi halal Malaysia dengan membangunkan inisiatif strategik, memupuk bakat tenaga mahir dan meletakkan negara sebagai peneraju industri halal global. 

Pengguna lebih yakin

Syarikat G&H Cake House Sdn Bhd merupakan salah satu PKS yang mendapat fasilitasi melalui program HSPP.

Syarikat ini ialah pengeluar produk biskut dan kek dengan jenama Myziff Bakers. Sebelum mendapat fasilitasi HSPP, syarikat ini menghadapi kesukaran untuk menembusi pasaran antarabangsa. 

Fasilitasi yang diterima melalui HSPP telah membantu syarikat mendapatkan pensijilan antarabangsa Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP).

Pensijilan HACCP yang diterima melalui program HSPP berjaya menarik minat dan keyakinan pasaran antarabangsa sehingga berjaya membantu syarikat ini memasuki pasaran negara Jepun.

Belajar hadapi cabaran perniagaan

Bagi syarikat Green Master Global Fine Food pula, fasilitasi yang diterima membantu mereka menghadapi cabaran untuk memasarkan produk syarikat melalui kaedah pengiklanan digital menerusi Google Ads. 

Hasil daripada kempen pengiklanan ini, syarikat Green Master Global Fine Food yang menjadi pengeluar makanan laut sejuk beku ini menerima hampir satu juta pelawat di laman sesawang syarikat itu sejak ia mula dibangunkan.

Bangunkan laman sesawang syarikat

Sebelum menyertai program HSPP, syarikat Nuha Food Sdn Bhd yang menjadi pengeluar produk makanan seperti bawang goreng, sambal dan pes masakan menghadapi kesukaran untuk menembusi pasaran kerana pembungkusannya yang tidak mencapai piawaian pasaran dalam dan luar negara.

Namun, selepas dipilih menyertai program HSPP, syarikat ini berjaya dibantu untuk menambahbaik kualiti pembungkusan produk bertepatan dengan kehendak pengguna dan pasaran.

HSPP juga membantu Nuha Food untuk mendalami corak perniagaan pasca pendemik Covid-19 melalui kaedah pengiklanan atas talian. Pendedahan kepada kaedah pemasaran digital ini membantu mempromosikan produk Nuha Food kepada kumpulan sasaran sekali gus meningkatkan hasil jualan syarikat.

Kaji pasaran global

Ever Delicious Food Industries Sdn Bhd ialah sebuah syarikat pengeluar biskut yang hanya bermula di sebuah lot kedai kecil kini mula mengorak langkah meluaskan pasaran produk mereka setelah menyertai program HSPP.

Program HSPP membantu memberi pendedahan berkaitan kehendak pasaran antarabangsa serta meningkatkan kualiti pembungkusan produk syarikat.  

Pembungkusan produk yang sebelum ini tidak menepati piawaian dan citarasa pasaran kini ditambahbaik menjadi lebih menarik sekali gus meningkatkan hasil jualan produk tersebut.

Beri kredibiliti pada jenama

Sebagai sebuah perniagaan yang menghasilkan produk daripada bahan semulajadi, agak sukar bagi syarikat Tanamera untuk meyakinkan pengguna untuk memilih produk mereka.

Namun begitu, melalui program HSPP, pengguna lebih tertarik dan yakin untuk menggunakan produk Tanamera hasil dari pengiklanan dan promosi yang dijalankan melalui platform digital.

Program fasilitasi ini juga banyak membantu dalam meningkatkan kredibiliti jenama tempatan sekaligus meningkatkan lagi jualan produk mereka terutamanya melalui platform atas talian.

 

HDC melalui program HSPP menawarkan fasilitasi merangkumi pensijilan antarabangsa (HACCP/ISO22000), penjenamaan digital dan pembungkusan produk kepada PKS terpilih menerusi penilaian yang dijalankan bersama rakan strategik HDC.

Inisiatif ini penting dalam meningkatkan keupayaan berdaya saing dan kebolehpasaran produk serta perkhidmatan PKS halal tempatan pada peringkat global. 

Kepada usahawan produk halal yang berminat untuk menyertai HSPP, layari laman sesawang https://hdcglobal.com/promoted-sectors/.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 10:53 AM