BUKIT Raya Basecamp, Benta, Pahang jadi lokasi agro pelancongan menarik setaraf Bali, Bandung di Indonesia.
BUKIT Raya Basecamp, Benta, Pahang jadi lokasi agro pelancongan menarik setaraf Bali, Bandung di Indonesia.
Nurul Husna Mahmud


Benta adalah pekan kecil dalam daerah Kuala Lipis, Pahang yang mungkin kedengaran asing dalam kalangan pelancong tempatan kerana destinasi ini lebih dikenali sebagai lokasi persinggahan berbanding untuk bercuti atau bermalam.

Sama seperti kawasan tarikan perkhemahan di sekitar Pahang, Benta turut memiliki keistimewaan tersendiri kerana persekitarannya masih lagi terpelihara daripada pembangunan dan kawasan hutan yang tebal.

Keunikan lain adalah terdapatnya kawasan perlindungan burung liar yang menjadi penempatan selamat bagi pelbagai spesies unggas terletak yang kira-kira lima kilometer dari jalan utama.

Bagi penulis yang berkesempatan mengunjungi pekan kecil itu menerusi jemputan bermalam oleh Pemilik Bukit Raya Basecamp, Firdaus Nur Osman, tidak melepaskan peluang untuk menginap semalam di kem terbabit.

Perjalanan dua jam dari Kuala Lumpur ke kem berkenaan dirasakan pendek apabila disajikan dengan pemandangan hijau dan berkabus meskipun ketika sampai jarum jam sudah menjengah ke angka 2 petang.

Kedudukan tapak perkhemahan itu yang terletak di kawasan berbukit bersebelahan hutan tebal menjadikannya kerap berkabus. Selain itu latar teres bukit yang dipenuhi tanaman pisang membuatkan panorama itu tidak ubah seperti suasana perkampungan di Bali atau Bandung, Indonesia

Ditambah pula dengan reka letak pondok rehat dan bermalam yang diperbuat dengan buluh serta kayu, melengkapkan lagi suasana seperti berada di sebuah desa cukup menenangkan.

Menurut Firdaus, tapak perkhemahan itu sebenarnya lokasi persinggahan atau penginapan sementara buat dia dan ahli keluarga ketika mengusahakan kebun.

Namun apabila dia dan ahli keluarga berkongsi mengenai panorama di lokasi yang sama, ramai kenalan dan ahli keluarga turut menyatakan hasrat untuk datang dan bersantai.

"Konsep di sini ialah agro pelancongan berdasarkan kawasan ini yang diusahakan bapa bersama saya serta adik-beradik lain untuk penanaman lebih 2,000 anak pokok durian premium seperti musang king dan duri hitam.

"Tidak terfikir untuk buka kepada orang luar. Jadi yang datang kebanyakannya adalah ahli keluarga dan kenalan yang mahu beristirahat serta bersantai. Sebelah kawasan ini dulunya adalah taman perlindungan burung liar.

"Sehingga hari ini boleh lihat spesies burung yang jarang dilihat di tempat lain seperti enggang, helang dan juga burung berwarna-warni terbang ke kawasan perkhemahan ini," katanya.

Tambah Firdaus lagi, konsep lebih santai dan gaya hidup ringkas menjadi pilihan apabila kemudahan di kawasan perkhemahan itu menempatkan tujuh penginapan bertutup termasuklah rumah buluh, pondok terapung, gazebo dan juga dua kemudahan 'hammock.'

"Konsep ini sebenarnya lebih kepada sesuatu yang dekat dengan masyarakat tempatan. Kalau hendak bercerita mengenai inspirasi ialah berdasarkan minat dan juga pengalaman orang tua saya sendiri cukup aktif dengan aktiviti luar termasuklah melawat ke kampung orang asli.

"Lihat gaya hidup yang ringkas dan kesederhanaan masyarakat itu sinonim dengan alam semula jadi. Berdasarkan rekaan rumah asli tradisi itu jugalah diguna pakai dalam sebahagian pondok inap atau rumah buluh yang terdapat di sini," katanya.

Selain itu konsep lestari juga diamalkan dalam utiliti di kawasan berkenaan apabila menggunakan sistem graviti membolehkan air dari bukit menjadi sumber air utama kolam dan kegunaan harian.

"Bagi fasiliti lain seperti elektrik dan air, menggunakan sumber sedia ada seperti air dari bukit serta anak sungai berhampiran untuk kegunaan harian selain aliran ke kolam ikan.

"Sementara elektrik adalah sumber solar. Aktiviti di sini selain bermalam, pengunjung boleh memancing dan juga mandi di kolam buatan atau anak sungai berhampiran," katanya.

Selain penulis, dua penggiat aktiviti perkhemahan dari Kuala Lipis, Dr Nor Hamizan Noor Hadi dan Izwan Shah Bahawi turut berkongsi keterujaan bermalam di kem terbabit.

Kata Dr Nor Hamizan, pengalaman bermalam di situ disifatkan memiliki keunikan tersendiri kerana terletak di kawasan terpencil di pekan kecil Benta.

"Saya tertarik apabila dipelawa pemilik untuk merasai pengalaman bermalam di kawasan ini. Kali pertama datang tinjau sudah tertarik kerana landskap dan panoramanya terletak di kawasan berbukit memberi suasana cukup privasi.

"Apabila bermalam, suara unggas, katak dan juga sekali-sekala bunyi ciapan burung sekali-sekala terdengar mengubat kerinduan terhadap suasana bermalam di dalam hutan. Maklumlah selepas dua tahun tidak boleh ke mana-mana kerana pandemik, di kem ini dapat juga penuhi hasrat untuk bercuti dengan berkhemah.

"Paling menarik lagi apabila dibawa mengunjungi lokasi awan nano di bukit berhampiran. Malah saya dan rakan diberi peluang mengendalikan kenderaan rupa bumi (ATV) untuk ke puncak bukit.

"Meskipun perjalanan mencabar kerana sesekali ATV 'tersangkut,' namun saya puas hati apabila sampai di puncak dan berpeluang melihat pemandangan awan 'karpet' yang tebal selain panorama sekitar," katanya.

Bagi rakannya, Izwan Shah, menikmati sajian ikan segar dari kolam yang terdapat disitu antara pengalaman tidak boleh dilupakan.

"Rasa puas apabila dapat pancing dan dimasak terus. Rasa ikan segar air tawar yang segar apabila disediakan dalam pelbagai juadah seperti dibakar juga sudah enak.

"Selain itu pemandangan malam di kem ini juga menarik dan indah. Saya dan rakan, Dr Nor Hamizan turut sempat merakam gambar dari atas bukit di belakang kawasan penginapan. Memang cantik," katanya.

Beliau berharap lebih banyak pusat atau kem perkhemahan boleh dibuka di kawasan Benta agar ia boleh menjadi destinasi popular untuk dikunjungi peminat aktiviti perkhemahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 6:50 AM