RUMAH bot dengan latar belakang Gunung Fakir Terbang.
RUMAH bot dengan latar belakang Gunung Fakir Terbang.
BAUNG ini menanti kaki pancing.
BAUNG ini menanti kaki pancing.
AKTIVITI mencari madu di pokok Tualang.
AKTIVITI mencari madu di pokok Tualang.
KEBIRUAN dan kejernihan air tasiknya pasti memukau.
KEBIRUAN dan kejernihan air tasiknya pasti memukau.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Jika tercari-cari destinasi yang mampu membebaskan diri daripada hiruk-pikuk kota, pencemaran dan ditemani bunyi-bunyian unggas rimba serta dikelilingi keindahan alam semula jadi, Tasik Pedu adalah jawapannya.

Suatu ketika dulu, tasik yang terletak dalam daerah Padang Terap, Kedah itu mempunyai beberapa pusat rekreasi dan chalet, tetapi disebabkan beberapa masalah, kemudahan ini kurang mendapat sambutan dan akhirnya ditutup.

Namun, kini, keindahan tasik ini kembali diperkatakan terutama dalam kalangan pencinta alam semula jadi, penyelidik biodiversiti dan kaki pancing.

Menurut pengusaha tunggal rumah bot di tasik ini, Amir Wahab, perkhidmatan yang diusahakan itu kian mendapat sambutan dalam kalangan pelancong luar negara.

"Pengunjung berpeluang menjelajah tasik dan bebas memilih sama ada bermalam di rumah bot atau sebaliknya.

"Jika bermalam, mereka boleh melakukan pelbagai aktiviti di atas rumah bot, antara yang diminati ialah memancing," katanya.

Di samping menikmati kedamaian dan kebiruan air tasik seluas 52 kilometer persegi itu, terdapat aktiviti sampingan yang boleh dilakukan seperti merentas jejak di Gunung Fakir Terbang.

Pengunjung berpeluang melihat aktiviti mencari madu di pokok tualang dalam kawasan hutan dan jika bernasib baik boleh melihat kawanan gajah.

Jika berjaya sampai ke puncak, penat lelah pasti hilang menyaksikan pemandangan alam menakjubkan termasuk panorama sempadan di selatan Thailand.

"Di sini juga terdapat tapak perkhemahan di Survival Island yang mampu memuatkan 40 orang, lengkap dengan kemudahan tandas dan tempat memasak.

"Ia amat sesuai untuk program aktiviti luar seperti kem bina semangat dan hari keluarga," katanya.

Sementara itu, peminat fotografi burung, Shaiful Azhar Abu Bakar, teruja menjejakkan kaki ke tasik itu kerana berpeluang melihat pelbagai jenis burung, antaranya kuang.

Malah, dia bertuah bertemu beberapa gajah liar dan sempat merakamnya dengan lensa kamera.

Selain itu, Tasik Pedu yang terletak kira-kira 90 kilometer dari bandar raya Alor Setar adalah syurga kepada kaki pancing yang gemarkan spesies ikan air tawar seperti baung, siakap dan lampan.

Layari facebook Amireco Pedulake bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:01 AM