KEDUDUKAN KVRS di atas bukit serlahkan keindahan.
KEDUDUKAN KVRS di atas bukit serlahkan keindahan.
Mohd Amin Jalil


Keunikan nilai estetika pada binaan berasaskan kayu sukar dinafikan kerana ia berupaya menyerlahkan suasana yang eksklusif sama ada pada kediaman atau pusat pelancongan.

Nilai itulah yang dapat dilihat pada bangunan dan landskap pusat pelancongan Kendong Village Resort Sukabumi (KVRS) di Kampung Seri Kendong, Rembau, Negeri Sembilan yang dibina menggunakan kayu serta mirip rumah Limas.

Penggunaan kayu balau, cengal dan meranti sarat dengan seni ukiran antara material utama pembinaan resort itu, sekali gus memperlihatkan ‘perkampungan tradisional’ yang privasi.

Ia jelas menampilkan nilai estetika yang tinggi, tambahan pula kedudukannya dalam suasana perkampungan tradisional memberi kelainan kepada sesiapa saja yang berkunjung atau menginap di situ.

Bukan sekadar landskap bahagian luarannya, malah bahagian dalam bangunan juga dilengkapi peralatan perabot berasaskan jati, sekali gus menyerlahkan gaya Nusantara.

Pusat penginapan itu yang dikelilingi perkampungan tradisional begitu menarik dan mengasyikkan kerana pengunjung berpeluang menikmati suasana menarik dan nyaman selain keindahan flora serta fauna.

Pemilik KVRS Ahmad Kamil Mohamed berkata, pembinaan berasaskan kayu dapat memberikan nilai keunikan yang tinggi sesuai dengan kedudukannya dalam kawasan perkampungan tradisional.

Menurutnya, dikelilingi kawasan hutan semula jadi yang masih kekal, KVRS dilengkapi landskap pepohon hijau dan menyegarkan.

“Saya mengeluarkan modal lebih RM500,000 bagi mengambil alih pusat pelancongan ini bermula pada tahun 2008 dan melakukan beberapa kerja menaik taraf menggunakan hampir 100 peratus kayu jati bagi mengekalkan keunikan dan keindahannya.

“Keindahan panorama yang menarik di kawasan sekitar resort ini menjadi daya tarikan pengunjung, malah mereka boleh menikmati suasana nyaman dan kedinginan hutan kaki Bukit Tampin.

“Inilah kelebihan yang menjadikan pilihan sama ada penduduk tempatan atau pelancong,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Kedudukannya di atas bukit begitu terserlah, malah tampil bergaya dengan konsep nusantara.

Landskap tropika dalam suasana desa melatari kawasan itu yang berkeluasan kira-kira lima hektar itu.

Beberapa wakaf turut dibina di antara bilik sewaan sebagai pelengkap selain terdapat kolam pancutan air bagi menyerlahkan suasana berkenaan.

Di sekitar resort itu juga turut dihiasi dengan kebun bunga hiasan dan buah-buahan yang cukup mengasyikkan pemandangan.

Restoran Sukabumi yang terletak di tepi kolam mandi pula menawarkan pelbagai jenis masakan terutama makanan tradisional Negeri Sembilan seperti ikan tawar segar khususnya tilapia merah.

“Lebih menarik, pengunjung juga berpeluang menikmati suasana segar dan nyaman ekosistem sungai, kolam ikan dan sarang madu lebah kelulut di mana terdapat 100 sarang madu lebah berkenaan di sekitar resort yang menjadi sebahagian landskap di sini.

“Saya ingin memberikan kelainan kepada pengunjung dengan mewujudkan landskap tropika selari dalam keadaan asal tanah ini yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan hijau,” katanya.

Ahmad Kamil berkata, KVRS menyediakan lebih 50 bilik selain kemudahan surau, dewan dan bilik teater serta kawasan untuk aktiviti perkhemahan.

Menurutnya, KVRS juga dipilih sebagai pusat pembangunan dan latihan penternakan madu lebah kelulut.

“Di sini, antara satu-satunya pusat pelancongan di negara ini yang terdapat ladang ternak madu lebah kelulut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 5:16 AM