AYAM goreng D’Sara tampilkan resipi rempah perapan dan adunan tepung istimewa.
AYAM goreng D’Sara tampilkan resipi rempah perapan dan adunan tepung istimewa.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Hidangan ayam goreng mungkin kedengaran ringkas dan mudah namun bagi pemilik D’Sara Fried Chicken, gabungan rempah yang serasi dengan teknik yang betul dapat menghasilkan ayam goreng rangup, enak dan tidak jemu dimakan.

Berkesempatan menikmati hidangan ayam goreng D’Sara, ternyata ia enak dengan rasa rempah unik dan berbeza selain tepungnya yang rangup.

Menurut pemilik, Syarifudin Omar, 41, resipi rempah untuk perapan dan tepung menggoreng adalah hasil sentuhannya sendiri.

“Selepas cuba beberapa kali, saya berjaya hasilkan resipi rempah dan tepung ini mengikut standard yang diingini dan bersesuaian dengan selera tempatan.

“Bagi perapan ayam, saya ketengahkan lapan jenis rempah antaranya lada hitam dan bunga lawang yang ternyata memberi kelainan rasa pada ayam goreng.

“Tepung juga menggunakan resipi adunan tersendiri antaranya tepung jagung dan soda bikarbonat,” katanya yang mempunyai latar belakang dalam bidang makanan segera selama 21 tahun.

Syarifudin berkata, dia juga teliti dengan teknik penyediaan kerana ia sedikit sebanyak mempengaruhi rasa dan rupa keseluruhan hasil akhir makanan.

“Untuk salutan tepung saya tidak gunakan telur sebagai agen menyalut tepung pada ayam goreng untuk mengelakkan ia berasa hanyir.

“Saya guna teknik dua kali salutan tepung bagi memastikan ia melekat dengan baik manakala untuk perapan saya pastikan ayam mesti diperap sekurang-kurangnya dua jam dan maksimum 48 jam,” katanya.

Antara menu istimewa yang sering menjadi tumpuan selain ayam goreng adalah chicken popcorn, chicken wrap, cheese wedges dan nasi ayam.

“Salah satu menu yang mencuri tumpuan adalah chicken popcorn iaitu isi ayam yang dipotong kecil dan digoreng sama seperti ayam goreng. Ia menjadi kegemaran ramai kerana ia kecil dan mudah dimakan terutama kanak-kanak.

“Selain itu, chicken wrap turut menjadi pilihan kerana ia gabungan makanan seimbang kerana menggabungkan roti tortilla, dua jalur isi ayam, salad dan tomato,” katanya.

Menu itu juga tampil berbeza dengan sos mayonis yang dibuat sendiri menggabungkan tujuh bahan antaranya daun pudina.

Menurut Syarifudin, idea untuk mengetengahkan menu seperti konsep restoran makanan segera ini muncul sekitar 2008, apabila berjaya mencipta resipi ayam goreng yang dirasakan sesuai dan bertepatan dengan selera tempatan.

“Kemudian, saya ambil keputusan untuk mula menjual di bazar Ramadan di Baling, Kedah pada 2010. Selepas mendapat maklum balas yang baik dan ramai pelanggan yang datang semula, saya ambil keputusan untuk membuka restoran,” katanya.

Syarifudin berkata, konsep restoran itu hanya bertahan tiga tahun kerana kesibukan kerja namun, dia tidak putus asa dan menyambung semula perniagaan ayam goreng dengan memulakan konsep kiosk pada 2014.

“Saya berhenti kerja pada 2014 dan tumpukan pada perniagaan ini secara serius dan sejak itu saya dapat perkenalkan ayam goreng resipi istimewa ini ke negeri lain,” katanya.

Bagi yang berminat, boleh kunjungi kiosk utama D’Sara yang terletak di Pulai, Baling Kedah atau kunjungi lebih 80 kios francais di seluruh Malaysia.

D’Sara turut mempunyai dua kafe iaitu di Sungai Petani dan Parit Buntar dan dan satu restoran di Sik, Kedah. Maklumat lanjut berkenaan lokasi boleh lawati Facebook D Sara Fried Chicken.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 3:07 AM