AMIR menunjukkan menu utama di restorannya, Nasi Beriani Ayam.
AMIR menunjukkan menu utama di restorannya, Nasi Beriani Ayam.
AYAM tradisional Hainan punya keunikan tersendiri.
AYAM tradisional Hainan punya keunikan tersendiri.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin


Nasi beriani istimewa, ‘Traditional Hainanese Chicken Chop’ serta lapan jenis kopi dari negeri pengeluar di seluruh negara menjadi menu utama yang boleh dinikmati pelanggan di Kafe Anggun Briyani & Coffee di Bandar Sunway Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Jika sebelum ini ‘Traditional Hainanese Chicken Chop’ dipelopori peniaga restoran Cina saja, pemilik kafe ini, Amir Shafiq Adham, 26, mencetuskan fenomena baru apabila turut mempromosikan hidangan berkenaan.

Amir berkata, berdasarkan pengamatannya, sehingga kini belum ada pengusaha restoran atau warung milik peniaga Melayu di Pulau Pinang menyajikan sajian berkenaan.

“Isi ayam diperam semalaman untuk menjadikan dagingnya lembut ketika dinikmati. Hidangan menjadi lengkap apabila dicicah dengan sos yang rasanya masam-masam manis.

“Ia turut diadun bersama sos tiram menggunakan ramuan tersendiri warisan turun-temurun keluarga, sekali gus memberikan kepuasan kepada pelanggan terutama yang baru kali pertama menikmatinya,” katanya.

‘Traditional Hainanese Chicken Chop’ berharga RM16.50 manakala menu ala Barat lain iaitu Oriental Chicken Grill’, ‘Beef Bolognaise Spaghetti’ dan ‘Grilled Chicken Olio Spaghetti’ dapat dinikmati pada harga RM13.50 hingga RM18.50.

Beliau berkata, kafe yang diuruskannya sejak November lalu mula mendapat perhatian dan menerima komen positif daripada pelanggan apabila mengetengahkan nasi beriani ala Johor.

“Nasi beriani di kafe ini menjanjikan rasa berlainan apabila menggunakan beras premium ekstra yang diimport dari Pakistan dan rempah-ratus daripada sebuah syarikat Bumiputera di Batu Pahat.

“Paling menarik, ia dimasak menggunakan kaedah lima lapisan iaitu setiap lapisan diserapkan rempah-ratus daripada resipi rahsia kami tersendiri. Kami turut menggunakan air mawar yang diimport khas dari India bagi mencetuskan aroma harum dan wangi,” katanya.

Amir berkata, lauk dalam hidangan nasi berianinya menjanjikan kepuasan apabila saiz daging agak besar iaitu seberat 120 hingga 140 gram (g) manakala kambing seberat 180g hingga 200g.

Beliau berkata, keenakan dan kelembutan ayam, daging atau kambing yang dihidangkan menyebabkan menu itu menerima sambutan daripada pelanggan.

“Menu beriani ditawarkan ialah Anggun Beriani Ayam, Anggun Beriani Daging dan Anggun Beriani Kambing yang dihidangkan bersama papadom, kuah dal dan resipi turun-temurun iaitu acar buah boleh dinikmati pada harga RM11.50 hingga RM16.50.

“Ia turut disediakan secara kombo bersama sirap bandung dan pencuci mulut seperti ais batu campur serta sagu gula Melaka pada dua tempoh bermula jam 12 tengah hari hingga 3 petang dan 6 petang sehingga 9 malam,” katanya.

Amir berkata, tidak sempurna selepas menjamu hidangan berat jika tidak minum secawan kopi. Pihaknya menawarkan lapan jenis kopi dari seluruh negeri pengeluar kopi di Malaysia iaitu Kopi Anggun, Hang Tuah, Muar 434, Ipoh, Kota Bharu, Tasek Gelugor, Aik Cheong dan Tenom selain Teh Tarik Anggun dan Cinnamon.

Beliau berkata, kopi berkenaan boleh dinikmati dalam keadaan panas, sejuk dan ais kisar pada harga RM3.80 hingga RM7.50.

“Kafe ini beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan ditutup pada Ahad. Kami turut menampilkan sarapan terbaik iaitu Anggun Signature Toast dan Half Boiled Eggs On Toast selain mempelbagaikan menu lain seperti capati, kuih karipap, cucur badak, donut dan popia goreng,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 11:34 AM