RAMLAN  (tiga dari kiri) menyaksikan simbolik penyerahan dividen PKS diantara Kamarudin (tiga dari kanan) dan Syarifuddin.
RAMLAN (tiga dari kiri) menyaksikan simbolik penyerahan dividen PKS diantara Kamarudin (tiga dari kanan) dan Syarifuddin.
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Baling: Seramai 30 peserta terdiri golongan kurang berkemampuan di negeri ini menerima manfaat agihan dividen RM500 sebulan menerusi Program Komuniti Sejahtera (PKS) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ketua Setiausaha KKDW Datuk Seri Ramlan Harun berkata, dengan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), dividen itu berjaya diagihkan menerusi perniagaan Restoran D' Sara Fried Chicken yang dilantik sebagai agensi pengendali dan pelaksana program berkenaan.

"Program ini berkonsepkan perkongsian keuntungan dalam bentuk pulangan dividen kepada kumpulan sasar dan pihak ketiga (agensi pelaksana).

"Kumpulan sasar bagi pelaksanaan program ini terdiri daripada golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40), mereka akan menerima sebanyak RM500 setiap bulan selama dua tahun hasil keuntungan perniagaan syarikat pengendali," katanya ketika ditemui selepas merasmikan restoran berkenaan dan penyampaian bantuan ekonomi projek KEDA, di sini.

Turut hadir, Pengurus Besar KEDA Datuk Kamarudin Abd Akib dan Ketua Pegawai Eksekutif D'Sara Fried Chicken Syarifuddin Omar.

Ramlan berkata, program yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) ini bermatlamat untuk meningkatkan pendapatan keluarga serta meningkatkan taraf hidup seterusnya mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Katanya, program ini juga diharap dapat membantu masyarakat untuk menjana pendapatan selain membantu mereka menambah pendapatan sampingan.

RAMLAN melawat bahagian penyediaan makanan restoran D’Sara Fried Chicken.
RAMLAN melawat bahagian penyediaan makanan restoran D’Sara Fried Chicken.

Bagi peserta, Mohd Nijam Che Hassan, 43, dia berasa sangat bersyukur menerima dividen itu yang sekali gus dapat membantu meringankan bebannya sebagai ketua keluarga berikutan hanya berpendapatan kira-kira RM500 sebagai penoreh getah.

"Saya ada empat orang anak yang berusia antara 16 hingga empat tahun, mereka masih bersekolah, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang, pendapatan saya memang tidak mencukupi.

"Alhamdulillah dengan adanya dividen ini, ia dapat menampung keperluan keluarga saya, saya akan gunakan duit ini sebaik mungkin untuk membeli barang dapur dan keperluan persekolahan anak-anak," katanya yang berasal dari Kampung Kuala Beris, Sik.

Seorang lagi peserta, Ishak Saleh, 49, berkata, sebagai seorang orang kurang upaya (OKU) dia sangat bersyukur dipilih menjadi peserta PKS dan berterima kasih kepada kerajaan yang sangat prihatin dengan golongan sepertinya.

Katanya, keadaan kaki kanannya yang cacat akibat dipatuk ular pada usia sembilan tahun menyebabkan pergerakannya agak terbatas dan sukar melakukan kerja berat.

"Program seperti ini sangat baik kepada golongan kurang berkemampuan seperti kami, hasil keuntungan perniagaan Bumiputera dikongsikan kepada orang yang memerlukan.

"Saya akan gunakan duit dividen ini untuk anak-anak saya yang masih belajar, saya harap program seperti ini dapat diperluaskan lagi selepas ini," katanya yang bertugas sebagai bilal masjid di Kampung Masjid Jeneri, Sik.

Sementara itu, Kamarudin berkata, pihaknya berharap program itu berjaya mencapai objektifnya apabila pelaksana program itu mula mengagihkan dividen mengikut tempoh yang diberikan.

"Selain meningkatkan pendapatan syarikat pengendali, ia juga menjadi pendapatan sampingan buat 30 peserta yang terpilih dari negeri Kedah.

"Mereka yang membeli di sini secara tidak langsung akan menyumbang kepada golongan kurang berkemampuan," katanya.

Sementara itu, Syarifuddin menjelaskan, selain daripada menerima dividen dan berkongsi pendapatan, peserta juga diberi pilihan untuk bekerja di premis berkenaan sebagai salah satu cara meningkatkan pendapatan.

"Peserta boleh memilih untuk sama-sama bekerja atau jika mereka tidak mampu, ahli keluarga lain boleh menjadi pekerja di sini untuk menambah pendapatan serta meningkatkan taraf hidup ke arah lebih baik," katanya.

RAMLAN (tiga dari kiri) menyaksikan simbolik penyerahan dividen PKS diantara Kamarudin (tiga dari kanan) dan Syarifuddin.
RAMLAN (tiga dari kiri) menyaksikan simbolik penyerahan dividen PKS diantara Kamarudin (tiga dari kanan) dan Syarifuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 6:27 PM