BANTUAN bertujuan membebaskan manusia dari situasi kemiskinan dan permasalahan sosial sehingga berupaya kembali menjalani hidup berdikari.
BANTUAN bertujuan membebaskan manusia dari situasi kemiskinan dan permasalahan sosial sehingga berupaya kembali menjalani hidup berdikari.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Awal minggu lalu kami berpeluang mendengar penegasan yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia dalam ucapan amanatnya kepada warga perkhidmatan awam bahawa tanggungjawab pemimpin dan penjawat awam adalah untuk berkhidmat dengan penuh amanah dan keikhlasan bagi membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan dan belenggu, sekali gus mengangkat martabat pentadbiran negara ke tahap yang lebih tinggi dan terpuji. Peringatan tersebut selaras dengan seruan ayat al-Quran dalam surah al-Balad yang memerintahkan agar membebaskan manusia dari segala belenggu perhambaan dan penindasan demi mencapai matlamat kebahagian dan kesejahteraan hidup yang sebenar. Firman Allah SWT di dalam surah al-Balad ayat 12-13 yang bermaksud: "Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Di antara amal-amal itu - bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi…"

Dalam konteks masyarakat masa kini, golongan yang terbelenggu atau al-riqab bukan lagi bermaksud hamba abdi semata-mata namun tafsiran yang lebih luas telah difatwakan dan dipraktikkan misalnya di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan yang menyenaraikan asnaf al-riqab dengan golongan yang dibelenggu atau dieksploitasi dari aspek pemikiran, harta benda dan kekuasaan sehingga tidak mampu membebaskan diri dari belenggu tersebut. Oleh itu, kelompok yang dikategorikan sebagai asnaf al-riqab termasuklah golongan yang jahil dalam agama, terjerumus dalam ajaran sesat, menganut fahaman-fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah, terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seperti pelacuran, LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender), penagih dadah, penghidap HIV/AIDS dan lain-lain, ditinggalkan dan tiada tempat bergantung serta gelandangan.

Golongan tersebut juga mempunyai hak untuk dibimbing dan disantuni bahkan merupakan salah satu daripada asnaf zakat sebagaimana firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 60 yang bermaksud: "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." Pemberian bantuan zakat kepada golongan berkenaan
sudah tentulah bertujuan untuk mempertautkan semula hati kepada ajaran agama dan mengeluarkan mereka dari kemelut yang dihadapi.

Di dalam surah al-Balad, Allah SWT bersumpah dengan nama kota Makkah yang diketahui dalam sejarah sebagai tempat nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda melalui ujian dan cabaran getir dalam berdakwah untuk mengamalkan tuntutan agama dan menegakkan syiar Islam. Allah SWT menjelaskan bahawa tindakan menjaga, menegakkan keadilan dan kemakmuran dalam masyarakat adalah amalan yang tinggi darjatnya manakala usaha ke arah kebaikan biasanya melalui jalan yang sukar dan berliku. Firman Allah dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 214 yang bermaksud: "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: 'Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?'. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."

Seruan yang terkandung di dalam surah al-Balad perlu dihayati oleh setiap Muslim bagi membangunkan sebuah masyarakat dan negara yang diberkati sebagaimana firman Allah dalam surah Saba' ayat 15 yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun! Antara resipi kemakmuran negara seperti yang terkandung dalam surah al-Balad adalah tidak terpedaya dan terpesona dengan kekuasaan, memilih jalan kebaikan dan menjauhi jalan kejahatan, berbuat kebajikan kepada golongan terpinggir seperti anak yatim, orang miskin, kaum kerabat serta membudayakan amalan kesabaran dan berkasih sayang."

Sebuah negara yang makmur dapat dibangunkan apabila semua warganya berperanan membina diri, keluarga dan masyarakat berpandukan syariat Islam.

Selain itu, amar ma'ruf dan nahi mungkar perlu ditegakkan bermula daripada individu sehinggalah kepada pemerintah kerana menjamin keredaan Allah SWT. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 41 bermaksud: "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di atas muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sabagai salah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi membebaskan umat manusia dari belenggu kejahilan agama, penyelewengan akidah, kesukaran hidup dan terlibat dalam pelbagai gejala sosial. Selain itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai sebuah agensi kutipan dan agihan zakat turut memperuntukan bantuan khas kepada golongan yang terbelenggu dengan pelbagai masalah hidup atau al-riqab melalui beberapa skim bantuan kebajikan. Bantuan tersebut bertujuan membebaskan manusia dari situasi kemiskinan dan permasalahan sosial sehingga berupaya kembali menjalani hidup berdikari dan bermaruah sekaligus mengangkat darjat kemuliaan insan sebagaimana asal penciptaan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 5:59 AM