BERI pendapat secara berhikmah dan tidak mengandungi perkara keji dan berdosa.
BERI pendapat secara berhikmah dan tidak mengandungi perkara keji dan berdosa.
Amirulhakim Ahmad Nadzri

KETUA JABATAN SYARIAH ISLAMIYYAH, KOLEJ ISLAM AS SOFA

Masalah kebebasan manusia menjadi perbincangan oleh pemikir dan negarawan sejak dahulu. Kebebasan manusia yang paling banyak dibicarakan adalah kebebasan berpendapat. Hal ini kerana berfikir dan mengeluarkan pendapat ciri utama manusia.

Namun begitu, kita perlu sedar hidup di dunia ini tidak bersendirian melainkan kita hidup bermasyarakat. Oleh itu, secara tidak langsung kita akan menghadapi masalah terutama dalam mengeluarkan pandangan tanpa aturan kerana akan menyebabkan ketidaknyamanan kepada orang lain.

Kebebasan berpendapat bermaksud setiap manusia bebas untuk mengeksperikan pendapat melalui lisan, tulisan dan perbuatan. Kebebasan ini kini menjadi satu indikator untuk menilai kemajuan sesuatu negara dan ketamadunan terutama dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi.

Namun begitu, kebebasan pendapat ini perlu mengikut aturan dan batasan sebagaimana nasihat yang diaturkan oleh syariat Islam. Antara batasannya adalah seperti berikut:

Pertama, tidak menimbulkan kerosakan. Allah SWT tidak menyukai orang yang membuat kerosakan. Hal ini seperti dalam Surah al-Baqarah ayat 206 yang bermaksud: "Dan Allah tidak menyukai kerosakan".

Oleh itu, jika perbuatan kita sama ada perkataan, perbuatan dan tulisan menimbulkan kerosakan pada kehormatan, harta serta jiwa individu, ia satu kesalahan atau dosa.

Kedua, tidak menyebarkan kebohongan. Kebebasan berpendapat tidak sepatutnya menyebarluaskan perkara yang kebenarannya tidak diketahui. Hal ini seperti yang tercatat dalam Surah an-Nur ayat 12 yang bermaksud: "Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman lelaki dan perempuan menaruh sangka baik kepada sesama mereka sendiri berkata, 'inilah berita dusta yang jelas.'"

Ketiga, tidak mengandungi perkara keji dan berdosa. Hal ini bermaksud bahawa dalam kebebasan berpendapat, kita dilarang melakukan perkara keji seperti ghibah, menghasut, adu domba dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan perpecahan dan pemberontakan dalam masyarakat. Larangan ini seperti dalam al-Quran pada Surah al-A'raf ayat 34 yang bermaksud: "Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan keji, apa-apa yang nyata daripadanya dan yang tersembunyi, dosa serta pelanggaran."

Keempat, tidak menyebarkan aib, fitnah dan kehinaan. Larangan ini seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Humazah ayat 2 yang bermaksud: "Celakalah bagi setiap pengumpat dan pemfitnah".

Selain itu sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud: "Seorang Mukmin bukanlah orang yang suka menuduh, mengutuk, berkata kotor dan kasar".

Untuk menjaga kebebasan berpendapat, Islam amat melarang perbuatan seperti itu. Demi menjaga kebebasan berpendapat, Islam tidak membenar menyebarkan keburukan orang lain, menghina, berkata kesat dan melemparkan tuduhan.

Kelima, memuliakan dan tidak merendahkan orang lain. Dalam kebebasan berpendapat, kita perlu memuliakan orang lain dan tidak merendahkan mereka. Memuliakan orang lain ini adalah seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Isra' ayat 70 yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami memuliakan anak Adam." Ertinya Allah SWT telah menegakkan kehormatan dan kemuliaan seluruh anak cucu Nabi Adam serta hak asasi setiap manusia. Larangan untuk merendahkan orang lain adalah seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu pihak(daripada lelaki) mencemuh pihak lelaki yang lain, (kerana) mungkin pihak dicemuh itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula sesuatu pihak daripada perempuan mencemuh pihak yang lain, (kerana) mungkin pihak dicemuh itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah sebahagian kamu menyatakan keaiban sebahagian yang lain, dan janganlah kamu saling memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran buruk".

Kesimpulannya, kebebasan berpendapat adalah asas yang ditetapkan sebagai sebagai sebahagian daripada hak manusia. Hak ini adalah kebebasan yang tidak luput daripada ajaran dan pedoman Islam.

Namun begitu, ajaran Islam mempunyai batasannya dalam kebebasan berpendapat agar keharmonian dan ketenteraman terus terjaga sekali gus mencerminkan akhlak Islamiah itu sendiri.


Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 6:01 AM