KAJIAN Profil Membaca oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati kadar pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat. FOTO Arkib NSTP
KAJIAN Profil Membaca oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati kadar pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat. FOTO Arkib NSTP
Mohd Zaini Othman

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung dari 24 Mei hingga 2 Jun lalu mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat buku dan pembaca tempatan termasuk dari luar negara.

Ia adalah antara acara tahunan yang dinanti-nantikan kerana menjadi platform utama, khususnya untuk pencinta buku, penerbit, penulis dan pembaca dari dalam dan luar negara untuk berkumpul dan berkongsi minat mereka terhadap perbukuan.

Sedikit imbasan sejarah mengenai PBAKL, ia mula dianjurkan pada tahun 1981 sebagai antara usaha mempromosikan budaya membaca dan industri perbukuan negara. Dari tahun pertama penganjurannya, PBAKL berkembang menjadi acara tahunan yang semakin menarik jumlah pengunjung.

Malah, menurut Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khir Ngadiron, seramai 1.8 juta pengunjung datang ke PBAKL2024 sepanjang 10 hari penganjurannya, melebihi sasaran 1.5 juta pengunjung dan ia secara langsung turut memberi kesan kepada peningkatan 30 sehingga 50 peratus hasil jualan.

Penulis antara yang berkunjung ke PBAKL kali ini, tidak hanya sebagai pengunjung biasa yang mencari buku untuk dijadikan bahan bacaan baharu, tetapi turut menyaksikan pelancaran naskhah buku yang ditulis bersama rakan-rakan pentadbir universiti berjudul Rendang Maman Itik Salai: Himpunan Memoir Pentadbir Universiti yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) bersama Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) Usim.

Bercerita berkaitan penulisan, ramai kalangan pemimpin hebat dunia yang menjadikan penulisan sebagai antara satu terapi diri kepada mereka atau orang muda kini istilahkan sebagai healing. Secara realitinya, setiap kita perlukan ketenangan, namun ia bukanlah untuk memperoleh ketenangan dalam senario dan tuntutan hidup semasa yang rencam dan mencabar. Memandangkan ketenangan itu sangat penting, maka kita akan lakukan apa sahaja untuk mendapatkan ketenangan.

Terdapat pelbagai cara untuk terapi diri, ada yang percuma tanpa keluarkan perbelanjaan, ada juga yang tidak kisah berbelanja besar demi mencari ketenangan. Ada dalam kalangan teman penulis yang mencari terapi diri menerusi terapi keagamaan, aktiviti melukis, bermain alat muzik dan melancong. Bagi penulis, antara cara terapi diri adalah menerusi penulisan dan ia terbukti sebahagian daripada kaedah yang secocok dengan diri penulis untuk mencapai ketenangan. Pun begitu, tidak dapat penulis nafikan tidak ramai memilih kaedah terapi sebegini kerana kurang atau tiada kemahiran menulis.

Mengambil contoh di negara maju, mereka telah lama menjadikan penulisan sebagai sebahagian daripada budaya mereka. Segala yang berkaitan dengan diri mereka akan ditulis dalam jurnal bermula dari awal persekolahan lagi. Bagi pakar psikologi, penulisan ini juga dikenali sebagai autobiografi. Bagi mereka yang biasa dengan menulis, secara langsung mereka juga akan membaca bagi memperkayakan tulisan mereka. Akhirnya, budaya membaca dan menulis sudah sebati dengan kehidupan mereka.

Bagi penulis, minat ini datang secara tidak langsung daripada penglibatan secara serius dalam aktiviti pengucapan awam (debat dan pidato) yang diceburi sejak zaman sekolah hingga ke universiti. Apabila menyertai pertandingan pidato mewakili sekolah dahulu, penulis akan bermula dengan membaca pelbagai sumber di perpustakaan bagi mengumpul bahan berkaitan tajuk pidato sebagai idea awal. Daripada bahan yang dikumpul, dari situ penulis mula mengarang teks pidato sendiri sebelum ditambah baik oleh guru pengiring. Daripada menulis teks pengucapan awam, penulis berjinak-jinak menulis berita progam siswa semasa di kampus untuk dihantar ke surat khabar dan mula menjadi 'gian' menulis berita apabila satu demi satu berjaya 'keluar' surat khabar.

Kini, di alam pekerjaan sebagai pentadbir universiti tidak dapat lari daripada menulis pelbagai dokumen rasmi seperti surat, minit mesyuarat, laporan, kertas kerja dan lain-lain lagi. Semua ini membuka pengalaman baharu kepada penulis kerana setiap dokumen rasmi yang disediakan mempunyai format dan olahan penulisan yang berbeza. Ketika ditempatkan di sebuah jabatan yang bertanggungjawab dalam perhubungan awam dan media, menulis berita itu antara tugas hakiki dan ia bukanlah sesuatu yang 'berat' bagi penulis kerana sudah terbiasa menulis sejak bergelar mahasiswa dahulu.

Bagi mempelbagaikan bentuk penulisan, ia perlu seiring dengan memperbanyakkan membaca pelbagai genre bahan bacaan. Satu dapatan positif, Kajian Profil Membaca oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati kadar pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat. Hasil kajian menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada dua naskhah buku setahun pada tahun 2005 kepada 15 naskhah buku setahun pada tahun 2014 dan semakin meningkat bagi tempoh 2022 sehingga kini menjadi 24 naskhah setahun. Siapa yang boleh menjangka, mungkin daripada salah satu penulisan kita, ia menjadi titik mula (turning point) kepada perubahan yang besar dalam kehidupan seseorang yang membaca kisah pengalaman hidup yang kita coretkan.

Penulis Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Timbalan Bendahari Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) Usim

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 7:02 AM