GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Rizal Azman Rifin

SIFAT penyayang adalah antara ciri peribadi Muslim sejati. Islam menekankan sikap itu bukan saja sesama manusia tetapi terhadap makhluk Allah yang lain.

Makhluk selain manusia di dunia dijadikan Allah SWT bukannya sia-sia atau sekadar penghias alam tetapi Allah SWT menyediakannya untuk manfaat kehidupan manusia juga.

Demikian juga dengan penciptaan haiwan, ia penting daripada pelbagai sudut antaranya sebagai keseimbangan ekologi dan ekosistem alam.

Haiwan terbahagi kepada dua kategori iaitu haiwan liar yang tidak dibela dan haiwan ternakan dan peliharaan. Antara haiwan peliharaan itu pula ada dijadikan sebagai teman buat manusia seperti kucing.

Memelihara haiwan jinak dan manja sudah menjadi budaya hidup dalam masyarakat Islam sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Antara sahabat baginda yang begitu cintakan haiwan jinak itu ialah Abu Hurairah yang turut dikenali sebagai perawi hadis tersohor.

Sahabat Rasulullah SAW itu sentiasa membawa bersamanya kucing. Kelazimannya itu disedari Rasulullah SAW dan sahabatnya yang lain hingga beliau digelar Abu Hurairah bermakna bapa kucing.

Beliau tidak tersinggung dengan gelaran itu, sebaliknya berbangga kerana kelaziman hobinya mendapat perhatian Rasulullah SAW dan sahabat lain.

Itu antara kisah sahabat Rasulullah SAW yang kaya dengan sikap penyayang terhadap haiwan. Namun dalam penyampaian risalah Islam yang dibawa, Rasulullah SAW turut membincangkan dalam beberapa babak kehidupannya berkenaan bencana azab Allah terhadap mereka yang zalim dan kejam terhadap haiwan.

Kebanyakan manusia sukakan haiwan peliharaan yang jinak seperti kucing namun ada segelintir tergamak bertindak kejam dengan melakukan pelbagai perbuatan di luar batas perikemanusiaan.

Misalnya, baru-baru ini kita dikejutkan kejadian kucing bunting diperlakukan secara kejam apabila haiwan itu disumbat ke dalam mesin pengering di sebuah kedai dobi.

Bagi orang yang waras akal fikirannya tidak akan tergamak melakukan tindakan kejam itu. Bagaimana murninya ajaran Islam sehinggakan ketika seseorang mahu menyembelih haiwan korban pun diminta supaya berlaku ihsan dan tidak menyembelih dalam keadaan menzalimi haiwan itu.

Itulah keindahan akhlak Muslim yang mahu digarap oleh Islam. Seharusnya sebagai khalifah Allah, setiap individu Muslim dapat menzahirkan watak seorang yang penyayang.

Ingatkah kisah bagaimana Rasulullah SAW menegah seseorang yang meletakkan bebanan melampau ke atas unta tunggangannya. Peristiwa itu membuka mata, akal dan hati kita bahawa memperlakukan haiwan peliharaan secara sewenang-wenangnya amat ditegah Islam.

Dikisahkan pada suatu hari, Rasulullah SAW masuk ke dalam sebuah kebun milik seorang lelaki keturunan Ansar. Lalu baginda terlihat seekor unta yang sedang merintih kesakitan sehingga air mata unta itu mengalir.

Baginda SAW pun segera mendekati unta itu dan mengusap lembut bahagian belakang telinga sehingga unta itu diam dan tenang. Kemudian baginda bertanya dengan nada yang tegas dan keras: “Siapakah pemilik unta ini?” Maka dijawab jujur oleh seorang lelaki di kebun itu, “Sayalah pemilik unta ini ya Rasulullah.”

Baginda SAW nyata tidak senang dengan tindakan lelaki itu lalu menegurnya: “Tidakkah kamu takut kepada Allah sehingga kamu memperlakukan binatang yang Dia berikan kepada kamu? Perutnya kamu laparkan, tubuhnya kamu letihkan dengan kerja paksa yang tiada henti dan di luar kemampuannya.” (Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud)

Dalam satu riwayat lain, pada satu hari Rasulullah SAW melihat sarang lebah di satu tempat yang sudah dibakar oleh seseorang sehingga hangus sarang berkenaan.

Baginda SAW tidak berdiam diri saja menyaksikan perbuatan zalim itu, lalu baginda bertanya: “Siapakah yang membakar sarang lebah ini?” Maka dijawab sekumpulan orang di situ, “Kami yang membakar sarang lebah itu wahai Rasulullah.”

Berubah muka Rasulullah SAW tatkala mendengar jawapan kumpulan itu lalu baginda membuat teguran dengan sabdanya yang bermaksud: “Kamu tidak boleh menyeksakan dengan api kecuali Tuhan yang menciptakan api itu.”

Perbuatan menzalimi haiwan adalah tindakan menghidupkan ‘jenayah dan maksiat purba’. Malah, semua agama juga tidak pernah mengajar umatnya melakukan keganasan dan kezaliman.

Penulis ialah pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 1:29 AM