GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

KALI ini penulis mahu mengulas mengenai fikir dan buat. Melihat kepada tajuk, mungkin akan datang kepada pemikiran kita: 'Itulah aku asyik memikir sesuatu dan merancang sesuatu sahaja, fikir sahaja sampai naik pecah otak, tapi kerja dan tindakan tidak sedikit pun dijalankan lagi'.

Dalam erti kata paling mudah, merancang berhari-hari atau berbulan-bulan, kadang makan tahun tapi apa pun tidak dilakukan lagi.

Mengambil kira dalam putaran kehidupan tidak kira sama ada secara individu, kelompok masyarakat, pemimpin dalam sektor kerajaan atau swasta, sikap individu yang terlalu banyak memikirkan sesuatu dalam langkah atau perancangan kerja harian/projek yang mahu dijalankan akan merumitkan keadaan jika tertangguh atau tidak langsung berbuat sesuatu.

Mana tidaknya, asyik memikirkan saja, mesyuarat tak habis-habis sama ada hendak dilakukan sesuatu yang baharu atau meneruskan situasi kerja lama. Fikir adalah ingatan, angan-angan, akal, anggapan, pendapat dan sangka. Fikir itu pelita hati. Daya fikir bermakna daya atau keupayaan berfikir. Berfikir bermakna menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu, mempertimbangkan dalam ingatan atau mempertimbangkan dengan baik.

Berfikiran adalah berfikir mengenai sesuatu. Memikir adalah berfikir mengenai sesuatu, mengingati. Memikiri membawa makna memikir. Memikirkan adalah menggunakan untuk menyelesaikan sesuatu, merenungkan, mempertimbangkan dalam fikiran, mengenangkan, mengendahkan, mempedulikan, memandang penting. Terfikir bermakna teringat termasuk akal, tersangka, hasil fikiran, pendapat, pertimbangan akal, upaya, muslihat, perhatian, minat dan menaruh fikiran. Sefikiran bermakna sependapat atau sefaham. Berfikiran mempunyai fikiran. Pemikiran adalah perihal berfikir (memikir). Pemikir adalah orang yang berfikir atau ahli fikir. Buat sahaja apa yang difikirkan baik dan dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Apa yang perlu dipastikan setiap yang dilakukan mengikut peraturan dan tidak menyusahkan orang lain. Kalau terlalu banyak berkira-kira dan kajian yang sangat mendalam akhirnya mengambil masa yang terlalu lama dan sesuatu projek akan dilaksanakan sudah ketinggalan zaman. Inilah yang menjadi masalah. Satu ketika dahulu, mantan Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berpesan setiap rakyat Malaysia perlu membawa bersama buku catatan di mana sahaja mereka pergi. Apa sahaja yang terfikir perlu dicatat. Selalunya idea yang baik tidak datang selalu dan untuk itu perlu dicatat.

Banyak orang mempunyai idea yang baik-baik, tetapi takut untuk melaksanakannya. Kerap kali difikirkan apa orang lain kata atau apa akan terjadi kalau gagal?

Sebenarnya tiada orang yang serba lengkap. Sebagai manusia kita mempunyai pelbagai kelemahan dan kekurangan. Kalau sesuatu yang kita lakukan menempuh kegagalan, kita perlu mencuba berkali-kali sehingga berjaya. Kalau kita tidak mahu mencuba lagi, tentu kita akan terus gagal.

Pernah satu masa seorang kawan berkata kepada penulis: "Aku ingin dan berminat untuk menulis macam kamu. Aku lihat banyak tulisan kamu diterbitkan dan kamu membuat serta menulis buku untuk dipasarkan, aku mahu menulis tapi takut yang tulisan aku tidak bermutu dan tiada orang hendak membacanya. Penulis menjawab dengan mengatakan: "Sebenarnya banyak penulisan di dalam mana-mana terbitan tidak bermutu. Tapi, apa salahnya kita menulis sesuatu yang tidak bermutu yang lebih baik jika tidak menulis langsung." Kepada pembaca jika kita ingin menulis sesuatu yang bermutu, sampai bila pun kita tidak akan menulis. Tambah penulis lagi: "Selagi penulisan dapat memberi faedah kepada pembaca, seseorang perlu menulis walaupun dikatakan tidak bermutu." Mutu penulisan amat relatif. Mungkin kepada seseorang atau kumpulan, sesuatu itu tidak bermutu, tetapi kepada satu kumpulan lain penulisan itu bermutu.

Terpulang kepada pembaca. Kalau tidak bermutu tidak perlu meneruskan pembacaan, tetapi ini jarang berlaku. Setiap penulisan akan terus dirujuk sekali pun tidak bermutu. Untuk itu setiap orang jangan ragu-ragu untuk menulis. Setiap penulisan yang dihantar tidak semestinya diterbitkan. Setiap penulisan dihantar sebenarnya berniat untuk ditolak bukan untuk diterbitkan. Kalau terus diterbitkan ini lebih baik. Kalau kita berniat begini kita tidak akan kecewa jika penulisan kita ditolak. Sudah semestinya setiap penulisan yang ditolak akan diberikan sebabnya. Jika perlu akan diarahkan untuk tujuan pembaikan. Jangan rasa bersalah atau kecil hati, bua12t pembaikan dan hantar semula untuk pertimbangan.

Kalau ditolak juga, buat pembaikan lagi dan hantar semula. Ini perlu dibuat berkali-kali dan perlu dianggap proses pembelajaran.

Akhirnya nanti penulisan akan diterbitkan juga. Kita perlu belajar daripada kesilapan.

Apa yang penting kita melakukannya sebaik mungkin dengan sedaya upaya. Begitu juga dalam pekerjaan, idea yang baik daripada pemikiran orang lain atau idea daripada orang bawahan perlu diterima. Kalau boleh laksanakan segera selagi tidak menyalahi undang- undang. Banyak kerja menjadi terlewat kerana terlalu banyak yang diambil kira dan pertimbangan.

Begitu juga dalam pelaksanaan projek kerajaan, jika perlu buat kajian dan laksanakan secepat mungkin jika peruntukan mencukupi lebih-lebih lagi projek untuk rakyat sudah tentu amat bermanfaat bagi mereka. Rakyat tidak suka projek yang mereka minta ditangguh-tangguh. Banyak penangguhan menunjukkan kelemahan!

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 5:59 AM