SETIAP warga yang mendiami sesebuah negara/negeri   harus menjunjung undang-undangnya.
SETIAP warga yang mendiami sesebuah negara/negeri harus menjunjung undang-undangnya.
Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

BEBERAPA minggu lalu, penulis berjalan santai dalam kampung sendiri ketika balik bercuti, jauh di pedalaman iaitu Kampung Paya Baru, Kuala Krau, Pahang.

Suasana di pedalaman memang menyeronokkan dengan kehijauan pepohon merimbun dan tiada langsung bunyi kenderaan menambah rasa syahdu penuh ketenangan mungkin sesuai bila pencen nanti untuk mencari ketenangan agaknya.

Lalu di sebuah padang yang luas terlihat anak kecil dan ramai orang dewasa bermain layang-layang dan wau bulan. Meriah kelihatan suasana, penulis mendekati kumpulan itu sebelum seorang daripadanya bertanya: "Pak cik nak main sama ke."

Penulis memberitahu hanya mahu melihat sahaja sebab sudah lama tidak merasai suasana begini.

Bukan pengalaman penulis bertemu dengan orang bermain layang-layang dan wau bulan hendak diterjemahkan kepada pembaca. Di tempat penulis bekerja adalah negeri pesat membangun di selatan tanah air dan hendak melihat anak kecil main layang-layang amat susah.

Di waktu petang di tempat tinggal penulis dalam taman, hanya ada sekumpulan anak muda bermain dron, kapal terbang atau lain-lain permainan yang 'sedikit maju.'

Kita simpulkan persekitaran memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah diri anak muda. Jika suasana kampung pedalaman, permainannya tradisional dan jika kawasan agak maju permainannya juga moden.

Mungkin senang untuk kita buat andaian secara mudah dipahami, 'maju ikut cara moden, kurang maju ikut cara tradisional.' Ya lah, tak kan orang kampung nak main dron, nanti terpaksa jual lembu dua ekor nak membelinya.

Penulis sebetulnya rindu dengan permainan tradisional ini, tapi apakan daya hanya mampu melihat orang bermain sudah cukup bila sudah di hujung usia. Mahu rebah di sawah jika penulis bermain wau bulan di tengah bendang.

Dalam kehidupan ini, penulis suka menggunakan dua peribahasa mudah iaitu 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri' serta 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.'

Dalam erti kata mudah difahami, walaupun kita hidup berdagang mencari rezeki di tempat orang, jangan lupa kampung halaman tempat tumpah darah kita dilahirkan dan harus menghormati resam budaya tempat kita mencari rezeki dan diami buat masa kini ketika kita mencari rezeki.

Bila ditafsirkan semula maksud hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, kita mengupas secara santai dan mudah difahami. Hujan dilambangkan sebagai kebahagiaan atau hidup senang, manakala emas adalah lambang kemewahan dan kejayaan.

Batu lambang kehinaan atau tidak berharga. Hujan emas belum pernah terjadi, kalau hujan batu (batu meteorit) dari langit pernah terjadi.

Peribahasa Melayu ini, nampaknya mengungkapkan lebih baik menderita kemiskinan di negeri sendiri daripada berlimpah harta di negeri orang (bukan miliknya).

Peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung bermaksud kita hendaklah mematuhi undang-undang negara atau budaya sesuatu tempat yang kita diami.

Konteks bumi ialah sesuatu tempat kita naungi atau kita diami atau negara asing yang kita kunjungi manakala langit bermaksud undang-undang, peraturan atau budaya di sesuatu tempat.

Setiap negara/negeri mempunyai undang-undang dan peraturannya sendiri. Tujuan undang-undang diwujudkan untuk memelihara ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyatnya.

Oleh itu, setiap warga yang mendiami sesebuah negara/negeri harus menjunjung undang-undangnya. Jika melanggar undang-undang, maka individu itu akan didakwa serta dihukum mengikut peruntukan undang-undang.

Peribahasa ini mendidik supaya menghormati budaya dan undang-undang yang ditetapkan oleh negara didiaminya. Oleh itu, setiap orang harus bijak menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran bagi mewujudkan suasana harmoni dan tenteram.

Peribahasa lain yang sama erti adalah 'masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak' bagi mewujudkan suasana harmoni dan tenteram.

Secara ringkas, makna peribahasa itu membolehkan perantau mudah diterima oleh masyarakat setempat di samping keselamatannya lebih terjamin.

Gabungan dua peribahasa ini boleh diguna pakai dalam meniti kehidupan kita seharian walaupun kita sedang mencari rezeki dan berdagang di negeri orang. Kita tidak akan lupa tanah kelahiran yang penuh memori indah semasa proses pembesaran dan pada waktu sama, apabila kita mencari rezeki di tempat orang haruslah kita menghormati masyarakat di sekeliling dengan mematuhi undang-undang, tatasusila dan budaya mereka agar kita dapat meneruskan kehidupan dengan lebih harmoni.

Kesimpulannya dalam kehidupan ini tidak kira apa yang kita buat, lakukan dan hayati secara sederhana.

Dalam meniti kehidupan jangan sesekali menyanggah arus kerana buruk padahnya nanti.

Bersederhana itu yang terbaik.

Mencari kejayaan, jangan sampai Tuhan dilupakan. Kita berharap hanya pada Allah, bukan meletakkan rezeki pada manusia.

Bila tengok orang berjaya, lihat berapa sedekah dia. Lihat masa dia bangun tidur dan waktu dia munajat kepada Yang Maha Esa. Bandingkan dia dengan kita, yang kerdil dan biasa-biasa. Orang luar biasa, sebab amalannya pun luar biasa.

Orang hebat, bukan kerana dia hebat, tetapi amalan dan pemikirannya yang buat dia hebat. Orang baik ramai sayang. Orang ramai sayang, sebab Allah sayang. Hilang kasih sayang manusia, sebab hilang kasih Allah yang utama.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 5:59 AM