AHMAD Shahrizal keputusan berkenaan dilihat terlalu berat untuk diterima atlet yang layak dipilih. FOTO NSTP
AHMAD Shahrizal keputusan berkenaan dilihat terlalu berat untuk diterima atlet yang layak dipilih. FOTO NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Peribahasa di atas dapat digambarkan kepada atlet angkat berat Terengganu dan Perlis selepas mereka 'digam' oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dalam program pemilihan ke Sukan Sea di Kemboja pada Mei depan.

Impaknya, impian atlet yang layak untuk beraksi mewakili negara berkecai selepas bertahun-tahun mereka mengerah kudrat dengan mengangkat beban yang berat ketika sesi latihan.

Susulan itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahya meletakkan harapan yang tinggi agar badan induk persatuan angkat berat negara itu dapat mengkaji semula keputusan berkenaan bagi memastikan tidak ada atlet yang teraniaya.

Tambah beliau, keputusan berkenaan dilihat terlalu berat untuk diterima atlet yang layak dipilih dalam program itu selepas mereka berusaha gigih dan berlatih untuk mencapai kedudukan masing-masing bermula daripada remaja lagi.

"Sejujurnya MSNT pun begitu kecewa dan tidak boleh menerima hakikat ada atlet yang mengambil bahan terlarang berkenaan.

"Tapi pada pandangan kami, seharusnya pihak PABM menghukum dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati bersalah sahaja, bukannya kepada semua atlet yang tidak terbabit, situasi ini begitu merugikan negara dan atlet itu sendiri.

"Lagipun atlet berkenaan sudah berusaha gigih sejak awal remaja lagi untuk mencapai kedudukan mereka sekarang, perkara ini difikirkan sesuatu yang boleh menyekat potensi mereka untuk menggapai kejayaan.

"Kami meletakkan harapan yang tinggi agar pihak PABM dapat mengkaji dan mempertimbangkan semula keputusan berkenaan selain membuat penilaian terhadap atlet Terengganu yang layak bagi memastikan mereka berpeluang mewakili negara.

"Jika diberi peluang semula, saya berkeyakinan mereka mampu memberikan saingan dan cabaran yang hebat untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan ke Sukan Sea di Kemboja nanti, lagipun ada atlet berpotensi dari Terengganu boleh diketengahkan," katanya ketika dihubungi.

Semalam PABM mengambil keputusan berani apabila tidak lagi menyenaraikan atlet angkat berat dari Terengganu dan Perlis bagi sesi pemilihan ke temasya Sukan Sea di Kemboja pada 5 hingga 17 Mei depan, keputusan tegas itu terpaksa diambil sebagai pengajaran kepada atlet yang terabit dengan isu doping.

Terdahulu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur 2022, dua atlet dari negeri Terengganu yang merangkul pingat di kesan menggunakan bahan terlarang jenis 'anabolic androgenic steroid'.

Bagaimanapun dua atlet berkenaan memohon untuk membuka sampel B di makmal Qatar pada Isnin ini sebagaimana yang disahkan Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas), Azura Bidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 2:02 PM