MOHAMAD Sabu. FOTO Bernama
MOHAMAD Sabu. FOTO Bernama
Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerima peruntukan RM5.39 bilion menerusi Belanjawan 2023, peningkatan 12.06 peratus berbanding RM4.81 bilion tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan peningkatan itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memacu agromakanan sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

"KPKM menyambut baik Belanjawan MADANI 2023 yang telah diumumkan Perdana Menteri khususnya di atas keprihatinan terhadap sektor pertanian.

"Belanjawan yang dibentangkan diyakini dapat mendepani cabaran-cabaran sektor agromakanan antaranya pengeluaran, bekalan dan pemasaran makanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, inisiatif Belanjawan MADANI akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi selari dengan objektif dan sasaran di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

"Sebagai peneraju agenda keterjaminan makanan negara, KPKM komited melaksanakan inisiatif Belanjawan 2023 secara cekap dan berhemat demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Mohamad berkata, selaras agenda keterjaminan makanan, pihaknya menyambut baik pemberian subsidi dan insentif bagi industri padi dan beras berjumlah RM1.6 bilion, selain tambahan RM228 juta sumbangan tunaiserta perkongsian 30 peratus keuntungan bersih import beras kepada pesawah oleh BERNAS.

"Ini akan dapat membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pesawah.

"Penggunaan automasi dan pendigitalan dalam sektor pertanian juga menyumbang kepada peningkatan kualiti pengeluaran dan produktiviti tenaga kerja.

"Sehubungan itu, inisiatif melalui dana Skim Pembiayaan Agrofood, program Digital AgTech, Elaun Modal Dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal telah ditekankan untuk memperluas dan memperkasa penerimagunaan teknologi moden," katanya.

Mohamad berkata, kerjasama semua pihak berkepentingan diperlukan bagi menjamin ekosistem agromakanan yang mampan.

Katanya, malah kerajaan turut menggalakkan pelaburan swasta berskala besar berasaskan pertanian bagi meningkatkan pengeluaran makanan.

"Saya menyambut baik agenda keterjaminan makanan merentas kementerian dan kerajaan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dinyatakan dalam belanjawan ini.

"Ini termasuk inisiatif penanaman jagung bijian, Jualan Rahmah, platform Cloud Kitchen dan program Kebun Komuniti bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 1:03 PM