USAHA berterusan  diambil untuk menambah baik keseluruhan rantaian bekalan makanan termasuk faktor pengeluaran.
USAHA berterusan diambil untuk menambah baik keseluruhan rantaian bekalan makanan termasuk faktor pengeluaran.

Kuala Lumpur: Tiga ancaman melanda dunia iaitu ketegangan geopolitik, penularan varian baharu Covid-19 yang mudah berjangkit dan kesan perubahan iklim berterusan dijangka meningkatkan lagi inflasi global seterusnya berpotensi menggugat pertumbuhan ekonomi.

Kebimbangan meningkat terhadap ketakjaminan makanan akibat gangguan rantaian bekalan, cuaca ekstrem, peningkatan kos tenaga dan import serta pergerakan rentas sempadan dan akses bekalan makanan import terhad mempunyai kesan meluas ke atas kehidupan dan perniagaan.

Bagi menangani perkara ini, kerajaan akan terus memberikan perhatian dan keutamaan khusus kepada keterjaminan makanan dalam memastikan kebolehcapaian makanan yang berterusan kepada rakyat.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi & Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, usaha berterusan sedang diambil menambah baik keseluruhan rantaian bekalan makanan termasuk faktor pengeluaran serta peringkat pemprosesan, pengedaran dan penyediaan dengan fokus memastikan keselamatan makanan.

Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021 - 2025) menyediakan panduan menyeluruh kepada pihak berkuasa yang berkaitan dalam memastikan sumber makanan negara mencukupi untuk setiap rakyat.

Antara inisiatif utama di bawah dasar ini termasuk mempergiat usaha untuk meningkatkan pengeluaran domestik, memperluas penerimagunaan teknologi dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada import.

Kerajaan juga komited untuk memodenkan lagi sektor pertanian bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi untuk menarik lebih ramai belia menjadi usahawan tani.

Inisiatif itu bertujuan meminimumkan risiko terhadap keterjaminan makanan.

Melalui Belanjawan 2023, kerajaan terus menyediakan subsidi dan insentif kepada industri pertanian dan perikanan serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan bekalan makanan hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk pengusaha agromakanan termasuk menyediakan kemudahan agro-logistik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 7:00 AM