KONSERT  Melly Goeslaw bakal diadakan di  Kuala Lumpur   pada 3 Februari 2023 di Dewan Plenary, KLCC.
KONSERT Melly Goeslaw bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 3 Februari 2023 di Dewan Plenary, KLCC.
minda

Dalam tempoh 18 hari lagi kita akan meninggalkan 2022 dan menyambut kehadiran 2023. Pastinya 2022 menyimpan kenangan sama ada yang manis mahupun pahit buat kita.

Dari sudut industri hiburan pula, sinar suria mula menerangi penggiat seni apabila peralihan fasa pandemik kepada endemik pada 1 April lalu diperkenalkan kerajaan.

Ia menyaksikan puluhan konsert artis tanah air mula menguasai lokasi-lokasi berprestij seperti Istana Budaya, Dewan Filharmonik Petronas, Dewan Plenary KLCC, Zepp Kuala Lumpur dan banyak lagi.

Peminat yang dahagakan persembahan artis selepas dua tahun terkurung pula tidak ketinggalan memberikan sambutan yang menggalakkan sehingga ada yang diadakan selama dua malam berturut- turut.

Dalam pada itu, ia turut memberi peluang buat artis-artis terutamanya dari negara jiran Indonesia mencari rezeki di sini.

Ia bukanlah perkara baharu kerana sudah lama bertapak di sini. Apatah lagi yang membawa masuk mereka tidak lain tidak bukan ialah penganjur dari Malaysia sendiri.

Walaupun ada pihak yang kurang senang, konsert ini tetap mendapat sambutan kerana nama-nama yang ditampilkan bukan calang-calang kerana mempunyai kehebatan sendiri.

Seperkara lagi, minat dan cita rasa setiap kita juga berbeza dan tentunya agak sukar untuk menghalang mana-mana individu daripada menyokong artis yang diminati.

Alang-alang bercakap mengenai konsert, apa agaknya konsert artis tempatan yang akan menemui peminat pada tahun depan?

Yang pasti akan dipentaskan ialah Konsert Indie Alliance menampilkan empat kumpulan iaitu Gerhana Skacinta, The Times, Joanna & Co dan Subculture di Zepp Kuala Lumpur.

Tidak ketinggalan ialah konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 pada 18 Mac tahun depan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Barangkali hanya dua konsert ini yang terlintas di fikiran penulis dan mungkin ada beberapa lagi yang terlepas pandang.

Bagaimanapun pada masa sama, kita tidak dapat menafikan senarai barisan artis Indonesia yang akan menguasai pentas konsert di negara kita tahun depan iaitu Konsert A Decade: Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2023 yang dijadualkan pada 20 Januari di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Diikuti BCL Blossom Intimate Concert pada 27 Januari di lokasi yang sama dan konsert kumpulan Noah yang belum diumumkan tarikhnya.

Melly Goeslaw yang sudah lebih 10 tahun tidak hadir ke Malaysia juga tampil dengan konsert Ada Apa Dengan Melly? Live In Kuala Lumpur pada 3 Februari 2023 di Dewan Plenary, KLCC.

Daripada perancangan awal hanya semalam, konsert ini ditambah menjadi dua malam pada 4 Februari.

Ia berlaku atas permintaan peminat dan cita rasa mereka wajar dihormati tanpa menjadi pertikaian mana-mana pihak. Barangkali mereka juga bosan apabila isu ini asyik diperkatakan.

Penulis mengakui hakikat keresahan penyanyi tanah air yang merasakan periuk nasi mereka tergugat.

Apapun perbincangan secara wajar, terbuka dan matang perlu diadakan membabitkan semua pihak. Ia tidak cukup jika hanya dicanangkan di media sosial sahaja.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 7:00 AM