KELETAH  manja dan gaya tersendiri menjadi ‘trademark’ Ella  atas pentas.
KELETAH manja dan gaya tersendiri menjadi ‘trademark’ Ella atas pentas.
Ridzuan Abdul Rahman


Dalam tempoh seminggu dua ini atau mungkin sebulan, peminat industri seni hiburan tanah air pastinya tidak lepas bercakap mengenai Ella dan kehebatan konsertnya yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu dan Ahad lalu.

Apa tidaknya, konsert dinamakan Konsert Jilid Akhir Ella: Puteri Kota itu mendapat sambutan hebat daripada peminat bukan saja di Malaysia tetapi juga Singapura, Indonesia dan Brunei.

Malah sambutan hebat terhadap konsert ini diperlihatkan sejak awal lagi apabila tiket habis dijual dalam tempoh 24 jam selepas sidang media yang diadakan pada 10 Mac lalu.

Ia sekali gus membuatkan penganjur, Hitman Solutions dengan kerjasama RockQueen menambah satu malam lagi persembahan bagi memenuhi permintaan peminat.

Justeru, pada malam pertama konsert Sabtu lalu, penyanyi bergelar Ratu Rock ini menerima pengiktirafan Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours oleh Malaysia Book of Records.

Pengiktirafan terbabit diberikan kepada penyanyi berusia 56 tahun ini kerana menjadi artis tempatan pertama meraih kejayaan sebesar ini. Bukan mudah untuk artis tempatan mencapai apa yang diraih oleh Ella.

Bercakap mengenai Ella, pasti peminat seluruh pelosok tanah air tidak kira golongan muda serta makcik-makcik di kampung mengenalinya. Dia sememangnya legenda sebenar.

Keletahnya yang manja ditambah dengan gaya tersendiri di atas pentas menjadi 'trademark' tersendiri. Ella adalah Ella dan ia sukar disaingi mana-mana artis yang ada. Ella hanya ada satu di negara kita.

Melihat kepada suasana konsertnya, ia bukan saja dihadiri peminat setia, malah juga barisan penggiat seni serta penyanyi terkenal tanah air yang memberikan sokongan jitu buatnya. Ia pasti menjadi momen yang bernilai buat Ella.

Antara rakan artis yang hadir memberi sokongan termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Ziana Zain, Misha Omar, Rozita Che Wan, Noryn Aziz, Ara Johari dan ramai lagi.

Keterujaan menonton konsert ini turut dirasakan oleh penyanyi Nurul Wahab yang sanggup mengambil penerbangan dari Bali, Indonesia semata-mata untuk memberikan sokongan terhadap Ella.

Tidak kurang juga, kepulangan bekas anggota kumpulan Freshies, Shaziena Wahid atau Ejie dari Arab Saudi semata-mata mahu menonton konsert Ella yang julung kali diadakan.

Penulis berasa turut berbangga melihat fenomena ini. Jika konsert artis Indonesia, Melly Goeslaw yang berlangsung di Dewan Plenary, Kuala Lumpur ditonton dan diraikan oleh ramai rakan-rakan artis senegara, apa kurangnya Ella.

Paling menarik di konsert Ella ialah xyloband yang diberikan kepada setiap penonton pada malam itu. Xyloband atau wristband serta gelang itu akan bertukar warna cahaya mengikut muzik dialunkan.

Ia sekali gus membuatkan suasanan itu tampak 'indah' ibarat pesta cahaya.

Kumpulan popular dunia, Coldplay turut menggunakan xyloband dalam konsert-konsert mereka ketika ini.

Sekurang-kurangnya artis kita juga tidak lekeh apabila mampu menggunakannya dalam konsert mereka. Diharapkan artis tanah air yang lain juga berpeluang menggunakan teknologi ini nanti.

Ketika Ella menghiburkan peminat di Malaysia, kumpulan terkenal Slam pula berkelana ke Singapura menghiburkan peminat di sana. Sambutan yang diberikan juga hebat.

Walaupun penyanyinya, Zamani mengalami sakit tekak, ia tidak menjejaskan persembahan mereka secara keseluruhan.


Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 6:00 AM