GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Fairuz A Razak

Cukai adalah satu instrumen ekonomi yang amat penting bagi sesebuah negara memperoleh hasil atau pendapatan.

Hasil daripada cukai ini digunakan oleh sesuatu kerajaan untuk mentadbir dan mengurus negara dan bagi perbelanjaaan membangunkan negara berkenaan.

Cukai yang dikutip ini dibelanjakan oleh kerajaan bagi keselamatan negara dan rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah, membangunkan ekonomi, tujuan sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kebajikan rakyat serta pelbagai manfaat yang boleh dinikmati rakyat.

Oleh itu kita perlu faham bahawa hasil cukai yang diperoleh daripada rakyat melalui cukai individu yang perlu dibayar kepada kerajaan akan dapat dimanfaatkan dan dinikmati semula oleh kita sebagai rakyat.

Pada pembentangan Bajet 2022 bulan lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan mengenai pengenalan Cukai Makmur.

Cukai ini membabitkan syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan kadar cukai pendapatan sebanyak 24 peratus dan baki pendapatan bercukai pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022.

Walaupun kenaikan itu secara amnya hanya 9.0 peratus, ia adalah cukai sekali sahaja dan agak berpatutan untuk syarikat sedemikian kerana mereka memperoleh keuntungan yang tinggi dalam dua tahun sebelumnya.

Secara purata, sekitar 145 syarikat yang mempunyai lebih daripada RM100 juta keuntungan sebelum cukai daripada data 2019.

Sistem Cukai Makmur sebenarnya berdasarkan peringkat syarikat sahaja dan pelaksanaannya akan dilakukan secara adil serta tidak menyasarkan mana-mana industri atau sektor tertentu.

Ia tidak melihat daripada segi seluruh kumpulan syarikat sebaliknya mereka akan dikenakan cukai mengikut peringkat syarikat secara berasingan.

Daripada segi penggunaan pula, mengikut undang-undang, semua cukai dimasukkan ke dalam dana yang disatukan.

Dengan inisiatif ini kerajaan boleh mendapatkan semula anggaran hasil tambahan sekurang-kurangnya RM5 bilion hingga RM8 bilion melalui langkah Cukai Makmur.

Pada masa sama Petronas dijangka membayar dividen lebih rendah kepada kerajaan untuk 2022 yang diangarkan sebanyak RM25 bilion.

Penggunaan Cukai Makmur adalah secara telus dan ia dimaksudkan sebagai cukai sekali saja untuk membantu menyokong beberapa peningkatan keperluan bagi kerajaan.

Kerajaan perlu komited untuk memansuhkan cukai selepas 2022 supaya daya saing jangka panjang negara di Asia Tenggara tidak terjejas.

Pengenalan cukai ini bagi menyokong inisiatif kerajaan bahawa mereka yang berjaya dalam masa yang sukar ini wajar membantu mereka yang terjejas dan ini selari dengan semangat Keluarga Malaysia.

Walaupun Cukai Makmur sejajar dengan agenda pembangunan bersama kerajaan, ia masih perlu mempertimbangkan langkah jangka panjang untuk memastikan kestabilan fiskal dan bukannya menggunakan cukai sekali sahaja.

Pada acara Invest Malaysia 2021 Siri 2 yang dianjurkan Bursa Malaysia dengan kerjasama CIMBCGS baru-baru ini, Tengku Zafrul menyatakan beberapa syarikat yang bakal dikenakan Cukai Makmur menyokong pelaksanaan cukai secara sekali bayar itu dan memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan pembayaran dividen kepada pemegang saham.

Katanya, dijangka kurang 250 syarikat bakal dikenakan cukai korporat tambahan itu dan bukannya membabitkan jumlah syarikat yang besar.

Beliau memberi contoh syarikat seperti Telekom Malaysia Bhd (TM), Tenaga Nasional Bhd (TNB), Axiata Bhd dan Top Glove sudah menyatakan sokongan terhadap usaha ini. Bagaimanapun, untuk menyokong penjanaan hasil jangka panjang untuk negara, ia tidak boleh bergantung kepada pelaksanaan seperti Cukai Makmur saja sebaliknya kerajaan perlu mempertimbangkan dengan serius pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 3.0 peratus atau 4.0 peratus.

Disebabkan sifat dan mekanisme GST ini, ia akan dapat membantu kerajaan dalam kutipan hasil cukai khususnya dalam sektor ekonomi tidak formal.

Namun, usah risau kerana pelaksanaan GST tidak akan memberi kesan signifikan kepada rakyat secara keseluruhan sekiranya dilaksanakan pada kadar 3.0 peratus atau 4.0 peratus.

Sistem ini adalah lebih adil dalam kutipan cukai, terutama ke atas industri tidak formal.

GST berupaya menjadi pendekatan terbaik untuk mengesan industri yang lari daripada pelaporan dan bayaran cukai.

Bagi memastikan ia berjalan lancar, pemantauan harga melalui mekanisme GST oleh pembayar cukai perlu dilaksanakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan disokong oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dengan pengenalan GST, negara akan melangkah setapak lagi ke arah status negara maju dan rakyat akan berada dalam sistem percukaian yang lebih adil, telus serta efisien.

Ketika pelaksanaan GST sebelum ini, ia terbukti berjaya menurunkan cukai korporat dan cukai peribadi ke paras lebih kompetitif serta progresif daripada negara jiran bagi menggalakkan perniagaan baharu serta pelaburan asing dalam negara.

Ini juga trend seluruh dunia dan dibuktikan apabila cukai korporat dan peribadi diturunkan beberapa kali pada era GST dilaksanakan.

Penulis Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (Mata)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 6:15 AM