GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Rozaimy Ridzuan

Polemik politik yang melanda tatkala negara sedang berdepan krisis Covid-19 cukup meresahkan rakyat. Pergelutan kuasa yang masih berlaku antara parti politik bukanlah perkara asing kerana ia menjadi darah semula jadi yang mengalir dalam diri kebanyakan ahli politik.

Namun, pergelutan yang berlaku secara berterusan dan tidak kena pada masanya mampu membuat negara berputih mata kerana banyak dasar kerajaan yang dirangka sebelum ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Sejak negara mencapai kemerdekaan, kerajaan sudah memperuntukkan perbelanjaan besar bagi membiayai pelaksanaan dasar kerajaan. Antara dasar kerajaan termasuk Dasar Ekonomi Baru, Dasar Penswastaan, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Eknomi Baru (NEM), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan disulami dengan beberapa Rancangan Jangka Pendek dan Rancangan Jangka Panjang kerajaan.

Kejayaan yang dicipta dalam kebanyakan dasar kerajaan ini membabitkan usaha sama pelbagai pihak termasuklah rakyat, sektor awam dan swasta serta masyarakat sivil. Kejayaan yang dicipta tidak datang bergolek dan memerlukan pengorbanan dari segi wang, masa dan tenaga bagi memenuhi aspirasi negara untuk menjadi negara maju.

Namun, usaha membangunkan negara melalui pelaksanaan dasar kerajaan akan terencat jika pergelutan kuasa antara parti politik berlaku secara berterusan. Baru-baru ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.

Situasi sebegini sebenarnya boleh diduga kerana begitulah amalan politik yang berlaku di Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan.

Di Malaysia, setiap parti politik perlu bekerjasama dengan parti politik lain bagi membentuk kerajaan. Dalam isu ini, Umno dilihat menarik diri daripada PN demi memastikan kerajaan yang memerintah pada hari ini kehilangan keabsahan untuk mentadbir negara.

Parti politik lain turut mendesak Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan. Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku kerana Perdana Menteri sudah menghadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berjanji untuk mengadakan undi percaya dalam sidang Parlimen pada September depan.

Apa-apa pun keputusan itu nanti, ketidakpastian sedang dan bakal berlaku terutama membabitkan pelaksanaan dasar kerajaan yang selama ini berperanan sebagai pendukung pembangunan negara. Selain isu mendepani Covid-19, ada banyak perkara yang perlu diselesaikan secara tuntas demi memastikan kesejahteraan rakyat terbela.

Antara isunya termasuk ketidakseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar, jurang pendapatan yang kian melebar antara kaum dan juga kumpulan pendapatan T20 serta B40, kekurangan tenaga kerja mahir, pengangguran dan sebagainya. Ada juga dalam kalangan rakyat yang dahulunya berstatus M40 turun menjadi B40.

Laporan Tinjauan Ekonomi 2019 menyatakan negara sedang berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan peningkatan kos sara hidup di bandar, kualiti pendidikan, penjagaan kesihatan dan kekurangan perumahan mampu milik.

Semua isu yang dinyatakan itu mampu ditangani oleh kerajaan jika kestabilan politik terjamin.

Namun, percaturan politik yang tidak berkesudahan akan menjejaskan pelaksanaan dasar kerajaan termasuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dilaksanakan.

Malah, menteri yang menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) datangnya daripada Umno dan segala perubahan yang berlaku dalam fasa ketidaktentuan politik ini mampu memberi kesan kepada perancangan serta pelaksanaan untuk membawa negara keluar daripada pandemik ini. Selain itu, apa sahaja yang berlaku dalam arena politik pada hari ini senantiasa diperhatikan oleh rakyat. Dasar yang diperkenal dan dilaksanakan mencerminkan kualiti yang ada pada pemimpin dan kerajaan yang memerintah.

Kini, kepercayaan rakyat tidak boleh dibeli dengan retorik politik semata-mata kerana apa yang majoriti rakyat perlukan buat masa ini adalah perjuangan ahli politik dalam menyelesaikan isu berkaitan kesihatan dan pemulihan ekonomi negara.

Malaysia kini berdepan cabaran memastikan usaha menambah baik pelaksanaan dasar awam dapat dilaksanakan dengan baik bagi memulihkan kepercayaan serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Jika betul semua ahli politik ingin memperjuangkan kesejahteraan rakyat, sama-samalah tumpukan segala perhatian untuk membantu negara keluar daripada pandemik Covid-19 ini. Selepas itu, pilihan raya boleh diadakan bagi membenarkan rakyat memilih calon dan parti politik yang layak mentadbir negara.

Selagi Covid-19 ini belum berakhir, selagi itulah pilihan raya tidak dapat diadakan dan politik angka membelenggu negara dan akhirnya memerlukan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri interim. Perdana Menteri interim pula mungkin berhadapan dengan masalah kerana selepas ini akan ada lebih banyak lagi gerakan yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri interim itu dek angka majoriti kerusi di Parlimen yang berbelah bahagi.

Hakikatnya, kerangka moral politik ditetapkan cendekiawan Islam, Imam al-Ghazali perlu direnung oleh semua pemimpin rakyat. Menurut Imam al Ghazali, kekuasaan yang diraih mestilah digunakan untuk memberi kebajikan kepada rakyat dan bukan mengheret mereka ke dalam kancah persengketaan.

Rakyat pula perlu bersama-sama dengan kerajaan untuk membawa negara bebas daripada ancaman pandemik Covid-19. Negara memerlukan muka baharu, terutama golongan belia berwibawa dan ada karisma sebagai pelapis pemimpin untuk mentadbir serta meneruskan pencapaian negara pada masa akan datang.

Golongan belia berilmu, berakhlak mulia dan bercirikan teknokrat perlu diangkat sebagai pemimpin negara demi memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan baik dan membawa negara ke arah pembangunan yang mampan.


Penulis Pensyarah Dasar Awam Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 6:00 AM