FOTO hiasan. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan
FOTO hiasan. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Kerajaan membelanjakan hampir RM1 juta bagi tujuan lawatan rasmi dalam dan luar negara oleh empat Utusan Khas Perdana Menteri sejak 2020 hingga Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata perbelanjaan sebanyak RM923,455.10 itu turut membabitkan pelaksanaan fungsi tugas dan komitmen yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Mengulas lanjut katanya, empat utusan khas ini juga berfungsi menarik pelaburan ke dalam negara melalui tujuan lawatan rasmi ke luar negara.

"Kerajaan sentiasa berusaha memperkukuhkan sektor ekonomi negara khususnya dalam tempoh fasa peralihan ke endemik Covid-19.

"Segala usaha Kerajaan ini demi untuk memastikan rakyat Keluarga Malaysia akan terus menikmati hasil pembangunan negara. Usaha ini didukung dengan tindakan Kerajaan yang terus berusaha memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar yang terbuka dan telus.

"Langkah ini turut disumbangkan oleh Utusan Khas Perdana Menteri yang berfungsi antara lain untuk menarik pelaburan ke dalam negara," katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau menjawab Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang meminta kerajaan menyatakan kerja yang dilakukan setiap duta khas Perdana Menteri secara terperinci mengikut pecahan tajuk urusan kerja, tarikh dan perbelanjaan pada tahun 2020, 2021 dan 2022.

Pada masa sama Abd Latiff berkata, Utusan Khas Perdana Menteri sentiasa proaktif dan mengadakan beberapa pertemuan rasmi dengan beberapa Duta dan Kuasa Usaha Sementara (CDA) kepada beberapa negara luar.

Beliau berkata, ia adalah bagi mendapatkan maklum balas langsung dan mengeratkan hubungan dua hala membabitkan kerjasama dalam aspek politik, ekonomi dan pendidikan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melantik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Asia Barat; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran sebagai Duta Khas ke India dan Asia Selatan; Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing (China) dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Richard Riot Jaem (Asia Timur).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 3:53 PM