TUN Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya hari ni selepas dilantik semula sebagai Perdana Menteri Interim. GAMBAR IHSAN FACE BOOK DR. MAHATHIR MOHAMMAD
TUN Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya hari ni selepas dilantik semula sebagai Perdana Menteri Interim. GAMBAR IHSAN FACE BOOK DR. MAHATHIR MOHAMMAD
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TUN Dr Mahathir Mohamad berhak melantik sesiapa yang dirasakan layak menjadi ‘pemegang amanah’ untuk menguruskan operasi kerajaan yang kini berfungsi sebagai interim.

Penganalisis Politik Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, tindakan itu perlu dilakukan segera untuk mengelak daripada berlaku ‘kelompongan kuasa’ sementara menanti kerajaan baharu dibentuk.

Menurutnya, individu yang dilantik itu tidak semestinya dalam kalangan Ahli Parlimen, bekas menteri dan timbalan menteri kerana ia memerlukan pertimbangan sewajarnya dan kebijaksanaan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri interim.

“Agak sukar untuk sesebuah kerajaan itu ditadbir secara sendirian oleh Perdana Menteri interim kerana beliau turut memerlukan bantuan individu yang layak bagi memastikan kestabilan, operasi serta tatacara kewangan dapat berjalan lancar.

“Dr Mahathir berhak melantik sesiapa yang difikirkan layak dan mempunyai kapasiti untuk memegang jawatan sementara itu untuk mentadbir kementerian yang kini tidak lagi diketuai menteri serta timbalan menteri selepas jawatan yang disandang dibatalkan Yang di-Pertuan Agong berkenan atas nasihat Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, mereka yang dilantik dalam kerajaan interim juga tidak mempunyai kuasa sebenar kerajaan yang ditubuhkan atas mandat menerusi Pilihan Raya Umum kerana hanya berperanan sebagai pemegang amanah sementara.

Beliau berkata, tiada sebarang dasar atau polisi baharu dapat dibentuk namun masih boleh meneruskan dasar sementara yang sudah digubal kerajaan sebelum ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan baharu perlu ditubuhkan secepat mungkin sebaik keputusan sokongan Ahli Dewan Rakyat sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana kelewatan berbuat demikian hanya akan memberi implikasi negatif kepada Malaysia.

“Walaupun tiada tempoh masa diberikan untuk kerajaan interim itu berfungsi namun secara moralnya kerajaan baharu perlu dibentuk secepat mungkin selepas mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Rakyat.

“Transisi politik yang tidak menentu ini juga akan mewujudkan kebimbangan khususnya kepada ekonomi domestik danantarabangsa dan kemelut ini perlu diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 2:17 PM