HASAN (dua kanan) bersama penyokong.
HASAN (dua kanan) bersama penyokong.

Rompin: Golongan muda perlu sedar hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai formula terbaik bagi menjamin kestabilan politik negara.

Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin berkata, hal itu kerana generasi muda adalah masa depan negara.

“Kalau ada anak muda yang kritikal dengan dasar kerajaan... tidak apa, biarkan tetapi soal pokok yang penting dan harus anak muda fahami adalah kami ingin wariskan negara ini kepada mereka sebuah negara yang politik dan ekonominya stabil, pengurusan yang baik dan aman sejahtera.

“BN mempunyai formula bagi pengurusan negara yang stabil, kami lihat pembangkang yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba buat macam BN di mana mereka cuba menjadi pengimbang antara dasar DAP dan PAS, namun hari ini kita lihat mereka semakin goyah.

“Saya tidak fikir gandingan pembangkang mampu terus bertahan kerana mereka bukan parti masa hadapan... bukan parti yang harus anak muda lihat mampu mentadbir negara dalam keadaan aman dan sejahtera,” katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Muadzam Shah di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin berkata, setiap jentera dan sayap parti BN wajar menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri Datuk seri Najib Razak yang ketika ini menghadapi pelbagai tohmahan tidak bertanggungjawab mengenai dasar dilaksanakannya.

“Sudah pasti dasar hari ini berbeza berbanding dasar Perdana Menteri terdahulu, sudah pasti pendekatan dan kaedah mentadbir pada abad ini berbeza dengan kaedah dulu.

“Jadi kalau pun ada teguran terhadap Perdana Menteri, tidak harus dilakukan secara terbuka tetapi hendaklah dengan kebijaksanaan kerana memerintah negara bukan satu perkara yang statik, pendekatan dan kaedah bergantung kepada keadaan semasa hari ini,” katanya.

Menurutnya, rakyat perlu yakin Perdana Menteri akan berusaha melakukan yang terbaik untuk negara bagi memastikan kebajikan dan masa depan rakyat terus terbela.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 9:51 AM