DATUK Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Norsyazwani Nasri
DATUK Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Norsyazwani Nasri
Mohd Roji Kawi


Kuching: Situasi pandemik Covid-19 yang membimbangkan di negara ini menjadi cabaran utama bagi Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, semua parti politik harus harus mengetepikan perbezaan politik dan bekerjasama untuk kebaikan negara dan rakyat.

Katanya, Ismail Sabri memikul tanggungjawab yang besar untuk menyelesaikan masalah pandemik Covid-19.

"Ini menuntut kita semua untuk bekerjasama dengan beliau ke arah matlamat sama iaitu untuk melihat negara dapat pulih daripada wabak itu," katanya.

Menurutnya lagi, semua parti komponen yang menyokong pelantikan Ismail Sabri juga harus kekal bersatu dan menyokong usaha yang dilaksanakan Perdana Menteri Kesembilan itu.

"Kita harus bersama-sama membantu beliau dalam menangani isu utama negara dan bukannya menuntut untuk lantikan jawatan dalam penubuhan kabinet baharu.

"Semua parti politik perlu menyokong pilihan Yang di-Pertuan Agong itu supaya Datuk Seri Ismail Sabri dapat fokus sepenuhnya pada tugas mentadbir negara dalam masa sukar ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fatimah Abdullah turut yakin Ismail Sabri mampu menangani masalah pandemik itu dengan berkesan.

"Ketika negara yang masih berdepan pandemik Covid-19, saya berharap Perdana Menteri akan meneruskan dasar-dasar baik yang dimulakan Perdana Menteri terdahulu dalam menangani pandemik ini.

"Segala bentuk bantuan yang diberikan kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19 sebelum ini harus diteruskan kerajaan baharu di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 2:36 PM