IBU bapa yang mahukan anak memasuki sekolah berasrama penuh tidak perlu bimbang dengan keputusan pemansuhan ini.
IBU bapa yang mahukan anak memasuki sekolah berasrama penuh tidak perlu bimbang dengan keputusan pemansuhan ini.
Noor Mohamad Shakil Hamed

KEPUTUSAN kerajaan untuk memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun ini disambut baik oleh pelbagai pihak.

Sudah semestinya golongan ibu bapa menzahirkan perasaan lega apabila anak mereka tidak lagi perlu fokus kepada pembelajaran berorientasikan peperiksaan seawal usia 12 tahun.

Ia sekali gus membuka peluang kepada kementerian dan sekolah untuk fokus kepada aspek kemenjadian murid secara holistik.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin ketika mengumumkan perkara itu memaklumkan keputusan memansuhkan UPSR dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak seperti guru besar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan berkaitan sejak peperiksaan itu dibatalkan tahun lalu akibat Covid-19.

Maka tidak timbul soal ia keputusan pihak kerajaan semata-mata.

Susulan pemansuhan UPSR ini, pihak kementerian juga dilaporkan akan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya.

Ini bermaksud ibu bapa yang mahukan anak memasuki sekolah berasrama penuh tidak perlu bimbang dan khuatir dengan keputusan pemansuhan ini kerana peluang anak mereka tidak akan terjejas.

Ironinya, kita perlu akui UPSR masih terlalu menitikberatkan aspek peperiksaan atau berorientasikan peperiksaan walaupun elemen kokurikulum sudah mula diberi penekanan.

Mahu tidak mahu kita perlu akui selama ini pada usia 12 tahun anak kita terpaksa berhadapan dengan penilaian yang dilihat sangat mustahak kerana mendukung harapan ibu bapa yang mahukan mereka masuk ke sekolah berasrama penuh.

Jujurnya, ketaasuban mendapat sebanyak mungkin gred A dalam UPSR terus menghantui anak dan ibu bapa yang kadangkala memberikan tekanan hebat kepada kedua-dua pihak.

Kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa kerana inilah sistem yang sedia ada apabila anak dianggap gagal jika tidak mendapat keputusan yang cemerlang seperti diidamkan.

Malah, pihak sekolah juga selama ini berasa tertekan kerana perlu memastikan keputusan dan prestasi keseluruhan terus kekal cemerlang demi menjaga imej dan kedudukan sekolah masing-masing.

Oleh itu, pemansuhan ini dilihat bukan saja melegakan banyak pihak, malah dalam konteks yang lebih besar ia merintis jalan ke arah inisiatif untuk mentransformasikan sistem pembelajaran dan penilaian di sekolah rendah secara menyeluruh.

Tuntasnya, baik ibu bapa mahupun guru, mereka tidak perlu lagi memikirkan skor A dalam UPSR, sebaliknya boleh memberi perhatian kepada proses pembangunan dan pembentukan karakter anak berdepan cabaran dalam kehidupan.

Hal ini sangat mustahak kerana pada hakikatnya usia tujuh hingga 12 tahun adalah satu tempoh masa yang sangat penting, signifikan dan kritikal kerana inilah usia yang bakal membentuk karakter serta sahsiah yang akan dizahirkan melalui sikap dan tingkah laku pada masa hadapan atau peringkat usia yang seterusnya hingga dewasa.

Oleh itu, acuan kita pada peringkat usia ini adalah cukup penting bagi membentuk masa depan mereka, umpama melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Sebagai seorang bapa yang mempunyai anak di sekolah rendah, antara harapan besar penulis sendiri ialah mahu melihat pembentukan karakter dan nilai moral berlaku di sekolah rendah di samping memberi perhatian kepada aspek akademik.

Fokus utama perlu diberikan kepada aspek penerapan nilai murni seperti menghormati orang tua, menghormati masa, bertolak ansur, berpegang teguh kepada ajaran agama, mengutamakan disiplin, penjagaan kesihatan dan keselamatan diri, memahami budaya masyarakat majmuk negara ini serta memahami kepentingan aspek jati diri, integriti dan semangat patriotisme yang tinggi.

Biarlah proses kemenjadian ini berlaku dalam suasana yang relaks dan santai tanpa sebarang tekanan dan peperiksaan.

Secara tuntasnya, inilah usia yang terbaik untuk kita membentuk mereka menjadi manusia yang cemerlang dunia dan akhirat, akademik dan sahsiah di samping menjadi warganegara yang bertanggungjawab, sayang serta cintakan negara.

Percayalah pengetahuan dan ilmu yang dipelajari tidak akan diperoleh hanya dalam buku teks dan dalam bilik darjah semata-mata atau boleh dinilai melalui peperiksaan seperti UPSR.

Ia perlu diterapkan melalui amalan dan praktis berterusan berpaksikan pengalaman langsung menggunakan kaedah penilaian serta pentaksiran yang lebih holistik.

Kita percaya guru cukup kreatif untuk menerapkan semua elemen itu melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.

Oleh itu, besarlah harapan kita agar pihak kementerian akan mengambil peluang ini untuk meneliti secara serius seterusnya memperkasa kaedah pentaksiran berasaskan sekolah yang akan diguna pakai supaya ia menepati apa yang kita hasratkan.

Apa yang penting ialah kita perlu jelas dengan objektif dan matlamat yang hendak dicapai melalui kaedah ini.

Dalam konteks ini, matlamat yang ditetapkan perlulah menjurus ke arah kemenjadian murid melalui pembentukan karakter yang bersesuaian dengan norma masyarakat kita demi melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang akademik dan sahsiah.

Maka pentaksiran yang ada mestilah bersifat holistik bermula seawal tahun satu hingga tahun enam merangkumi aspek akademik, kokurikulum dan juga sahsiah.

Semoga pada akhirnya kita dapat membentuk generasi masa depan mengikut acuan kita dan bercirikan Malaysia.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 5:59 AM