GENERASI kini memerlukan satu pendekatan terbuka dan lebih cenderung kepada penilaian potensi individu dalam pelbagai aspek kemahiran dalam dunia global.
GENERASI kini memerlukan satu pendekatan terbuka dan lebih cenderung kepada penilaian potensi individu dalam pelbagai aspek kemahiran dalam dunia global.
Suliati Asri


LANDSKAP pendidikan di Malaysia sentiasa menunjukkan perubahan mengikut peredaran masa dan berdasarkan keperluan perkembangan teknologi terkini.

Pendidikan di Malaysia perlu bergerak seiring dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan sedia ada.

Selepas Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan pada tahun lalu, Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah(PBD) diperkenalkan bagi menilai tahap penguasaan murid.

Memasuki tahun kedua pemansuhan UPSR, ia kembali menjadi 'buah mulut' terutama dalam kalangan masyarakat.

Ada yang berasakan pemansuhan UPSR itu adalah tepat dan tidak perlu diadakan kembali, tetapi perlu pendekatan lebih baik dalam penilaian pelajar.

Ada juga yang berpendapat ia perlu dikembalikan bagi memastikan anak-anak lebih fokus kepada pembelajaran selain tidak leka atau sambil lewa dalam sesi pembelajaran.

Ada juga golongan masyarakat yang inginkan UPSR ini diadakan kembali, tetapi bukan dalam masa terdekat dan apabila ia diadakan kembali, sistem atau kaedahnya adalah yang terbaik dan bersesuaian dengan keadaan semasa.

Peperiksaan UPSR dan PT3 sudah dilaksanakan sekian lama bagi menilai murid, namun selepas dimansuhkan adakah ia sesuai dilaksanakan semula berdasarkan keperluan semasa?

Pengarah Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan (NiCE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Kama Shaffeei berkata, UPSR adalah penilaian akhir di sekolah rendah bagi memastikan pencapaian murid dalam pengetahuan dan kemahiran asas dalam pendidikan khususnya dalam penguasaan 3M (Membaca, Menulis dan Mengira).

Menurutnya, peperiksaan berpusat ini memudahkan penguasaan inidividu dalam kemahiran kognitif yang tinggi dan kemenjadian murid dapat dihasilkan.

"UPSR adalah menentukan hala tuju pembelajaran murid sama ada ke sekolah harian biasa atau sekolah berasrama penuh dan ia juga dilaksanakan bagi melahirkan generasi yang berpengetahuan serta berkemahiran tinggi.

"UPSR juga diwujudkan bagi menilai kemahiran asas murid dalam penguasaan pembelajaran dalam aspek kemahiran bahasa, komunikasi dan sosial bagi menonjolkan potensi dan kemenjadian murid di sekolah rendah.

"Namun, UPSR dimansuhkan hasil keputusan drastik bagi memastikan kesinambungan pembelajaran diteruskan," katanya.

Generasi kini memerlukan satu pendekatan terbuka dan lebih cenderung kepada penilaian potensi individu dalam pelbagai aspek kemahiran dalam dunia global.

Penilaian Berasaskan Individu (PBI) perlu dilaksanakan demi memastikan potensi setiap murid dapat dicungkil dan diasah.

Guru perlu menguasai pelbagai kemahiran dalam pendekatan pengajaran seperti kepelbagaian pedagogi, penggunaan teknologi digital dan kemahiran insaniah.

Justeru, adakah sistem peperiksaaan UPSR perlu dikembalikan semula? Jawab Dr Kama, ia bergantung kepada keperluan dan perkembangan pendidikan semasa.

"Murid di sekolah perlu disediakan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran supaya mereka boleh meneruskan kehidupan masa depan.

"Kepelbagaian pendekatan pengajaran oleh guru dan proses pembelajaran perlu menyokong kepada kemahiran seseorang individu," katanya.

Hasil kajian oleh pakar penyelidik UPSI yang dilaksanakan pada tahun lalu berkaitan Penilaian Alternatif yang akan menggantikan UPSR selepas ia dimansuhkan menunjukkan pendekatan Penilaian Berasaskan Projek (PBP) bermula daripada tahap dua di sekolah rendah menunjukkan analisis keperluan yang tinggi dan boleh diaplikasi kepada murid serta tidak terikat dengan peperiksaan semata-mata.

Dr Kama berkata, kajian yang dilaksanakan bersama-sama pegawai di Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) itu menunjukkan keperluan pembabitan warga sekolah dan ibu bapa serta komuniti dalam merealisasikan penilaian yang dijalankan.

"Secara tidak langsung, hasil kajian ini membantu kesinambungan pembelajaran murid dalam bilik darjah.

"Kesediaan murid dan pedagogi guru dititikberatkan bagi mencapai hasil pembelajaran terbaik," katanya.

Oleh itu, bentuk sistem penilaian yang bagaimana perlu diterapkan bagi kesediaan pembelajaran murid masa kini bergantung kepada analisis keperluan kognitif, persekitaran pembelajaran sedia ada.

Ia juga bergantung kepada kesediaan sekolah dalam menterjemah intipati pendidikan bagi melahirkan generasi berilmu dan mampu bersaing di peringkat global.

Dr Kama berkata, pendidikan sekolah rendah perlu seiring pembentukan asas kemahiran murid dan selari dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dalam menghasilkan enam aspirasi murid khususnya bagi mewujudkan kemenjadian murid di sekolah rendah.

"Pembabitan serta sokongaan ibu bapa dan komuniti penting bagi memastikan pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan tercapai.

"Kesannya generasi berilmu, berkemahiran dan mampu bersaing mampu dihasilkan demi menyumbang kepada kemampanan ekonomi dan kemakmuran negara Malaysia," katanya.

Sementara itu, ejen takaful yang juga ibu lima anak, Syabilla Mazlan berpendapat, UPSR perlu diadakan semula dengan PBD saja sukar untuk melihat tahap keupayaan penilaian anak-anak terutama dalam bidang penulisan, pembacaan dan mengira.

"Tanpa UPSR, pelajar mungkin belajar sekadar memenuhi tuntutan belajar. Jika ada peperiksaan, sekurang-kurangnya ada medium untuk dicurahkan sejauh mana pemahaman mereka terhadap apa yang dipelajari.

"Selain itu, tanpa UPSR ini, pelajar dilihat sangat santai dan leka kerana tidak ada peperiksaan besar yang perlu dirisaukan. Ujian pun dianggap biasa saja.

"Lebih merisaukan, mereka meluangkan lebih banyak masa menghadap skrin atau gajet berbanding buku," katanya.

Syabilla berkata, dengan pelaksanaan PBD sebagai pengganti UPSR, pentaksiran itu boleh menjadi tidak adil berikutan ia sedikit sebanyak membabitkan emosi guru.

"Anak-anak ini sangat unik. Mungkin ada anak yang pandai dalam peperiksaan, tetapi nakal dan selalu buat perangai yang 'aneh-aneh.' Pastinya perangainya itu boleh menjadi faktor ia mendapat nilai PBD yang rendah.

"PBD ini juga dilihat membebankan guru kerana mereka perlu melakukan penilaian secara individu untuk semua pelajar.

"Sedangkan kita ibu bapa mahu membuat pemerhatian anak sendiri seramai empat hingga lima orang pun susah. Ini pula guru yang perlu menilai dan memerhati kira-kira 40 pelajar dalam kelas.

"Kerja guru juga semakin bertambah dan mungkin kualiti akan kurang," tambahnya.

Selain itu, kata Syabilla, menduduki peperiksaan ketika di bawah usia 12 tahun ini tidak memberi masalah kepada pelajar cuma mungkin silibus perlu dikaji serta tidak terlalu berat seperti sebelum ini.

"Ketika anak di bawah 12 tahun inilah juga kita kena pastikan asas mereka kuat. Sekurang-kurangnya dengan adanya UPSR, mereka lebih komited dalam sesuatu perkara.

"Rugi sangat jika pada usia ini di mana kemampuan mereka menyerap seberapa banyak ilmu tidak dimanfaatkan sebaiknya," katanya.

Sementara itu, bapa kepada tiga anak, Muhammad Ashraf Atan, 34, berkata, UPSR boleh dilaksanakan kembalikan namun bukan untuk masa terdekat.

"Zaman anak-anak sekarang bukan seperti kita dahulu. Ibu bapa tidak boleh terlalu memberi fokus kepada penilaian berorentasikan peperiksaan sebaliknya kemenjadian murid atau anak itu sendiri.

"Tapi, dalam masa sama, pastinya sebagai ibu bapa, kami masih mahu tahu prestasi anak dan kini PBD sudah dilaksanakan separuh jalan.

"Jadi, bagi saya jika KPM boleh memantapkan sistem PBD, bolehlah UPSR dimansuhkan selamanya. Namun, jika PBD masih tidak memberi impak tinggi pada kemenjadian murid atau hanya setakat apa yang dilaksanakan sekarang, kenapa tidak UPSR dikembalikan semula," katanya.

Muhammad Ashraf berkata, selepas pandemik Covid-19, ramai pelajar tercicir termasuk anak-anak yang duduk dalam bandar.

"Oleh itu, adalah lebih baik kita memfokuskan kepada kemenjadian mereka termasuklah penguasaan 3M (mengeja, membaca, mengira). UPSR dalam masa terdekat ini tidak membantu.

"Jika mahu UPSR dikembalikan juga, mungkin anak-anak yang akan belajar di tahun satu pada tahun depan akan menduduki UPSR kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 6:47 AM