MURID kini lega dengan pemansuhan dan lebih merasai keseronokan belajar di sekolah.
MURID kini lega dengan pemansuhan dan lebih merasai keseronokan belajar di sekolah.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak memberi kesan besar kepada psikologi murid sekolah malah mereka termasuk ibu bapa memberikan maklum balas positif.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada segelintir murid kecewa dengan pemansuhan selepas membuat persediaan termasuk mendaftar tuisyen dan membeli buku rujukan.

"Dalam hal ini ibu bapa perlu beri galakan dan dorongan kepada anak untuk terus belajar dan mengubah persepsi mereka yang menganggap pembelajaran hanya semata-mata menghadapi peperiksaan dan bukannya kelangsungan pendidikan dan kehidupan.

"Kaunselor perlu membantu murid dengan memberi maklumat jelas berkaitan pemansuhan ini.

"Konsep pembelajaran untuk kehidupan perlu diterap sejak dari bawah lagi serta meyakinkan murid setiap orang ada potensi dan bakat yang boleh dikembangkan dan ditingkatkan," katanya.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi penjelasan yang tepat dan betul bagi mengelak salah tanggap akibat pemansuhan itu.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rawang Mohamed Saufi Shafie berkata, beliau menyokong pemansuhan UPSR supaya murid di peringkat awal persekolahan tidak diberikan tekanan ujian dan peperiksaan.

"Mempersiapkan murid dengan nilai murni di sekolah seperti menghormati guru, rakan dan menjaga harta benda dengan baik juga penting sekarang dalam mengharungi zaman serba mencabar ini.

"Keseronokan belajar di sekolah dapat membantu mereka supaya lebih bersemangat belajar ke peringkat sekolah menengah dan persediaan menghadapi peperiksaan yang akan menentukan hala tuju kejayaan mereka," katanya.

Menurutnya, beliau dapat merasakan murid kini lega dengan pemansuhan itu dan lebih merasai keseronokan belajar di sekolah dan tiada lagi tekanan daripada ibu bapa dan guru supaya dapat keputusan cemerlang dalam akademik.

Bagi Ahli Jawatankuasa PIBG SMK Taman Setiawangsa Sahlan Mohamed, beliau mengalu-alukan penilaian murid secara holistik tanpa berpandukan hanya kepada peperiksaan.

"Sudah tiba masanya sistem pendidikan kita menilai kemampuan murid daripada segi pembangunan rohani dan intelektual untuk membawa mereka kepada satu tahap bagi membolehkan mereka membuat keputusan dan berfikir secara terbuka.

"Penilaian ini mesti boleh menjadikan murid mampu berinteraksi dengan rakan, guru dan masyarakat jika perlu," katanya.

Menurutnya, kemahiran individu juga boleh dikenal pasti, dicungkil dan diasah supaya kita dapat melihat kecenderungan mereka ke arah mana dan galakan awal boleh dilakukan.

"Kemenjadian murid memang lagi penting daripada kita melihat hanya lulus cemerlang dalam peperiksaan tetapi harus ada sistem penilaian akademik yang boleh diguna pakai sebagai sebahagian daripada proses penilaian.

"Saya melihat pentingnya membantu murid berkomunikasi kerana kemenjadian seseorang mampu diukur daripada kebolehan komunikasi dan kemahiran individu" katanya.


Beri ruang murid bina personaliti sendiri

Seremban: "Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dapat mengurangkan tekanan murid tahun enam dan ibu bapa untuk menghadapi peperiksaan itu hujung tahun," kata Mohd Fairuz Mohd Yasin, 46.

Katanya, langkah kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu wajar dan selaras dengan transformasi pendidikan negara.

Kakitangan swasta dari Senawang itu berkata, tanpa peperiksaan pada hujung tahun, ia memberi ruang kepada ibu bapa mengatur perancangan terhadap pendidikan anak mereka.

"Jika ada peperiksaan hujung tahun, ibu bapa terpaksa mengurus pemerhatian terhadap peperiksaan itu bagi tahun berkenaan.

"Jika anak mereka gagal atau tidak mendapat keputusan baik seperti diharapkan dalam UPSR, sudah tentu ia memberi tekanan bukan sahaja kepada ibu bapa malah murid terbabit.

"Pada masa sama, mereka tidak berpeluang memperbaiki kerana murid bakal melangkah seterusnya ke peringkat sekolah menengah," katanya.

Beliau berkata, KPM perlu mempunyai pendekatan lain yang komprehensif untuk menilai pencapaian seseorang murid.

"KPM perlu laksana kaedah peperiksaan lain atau ikut penggal iaitu dalam setahun mungkin tiga penggal untuk menilai pencapaian murid," katanya.

Pendapat itu disokong Haryulden Musa, 40, dari Seremban 2 yang menyambut baik langkah KPM memansuhkan UPSR mulai tahun ini.

Menurutnya, pemansuhan itu melegakannya kerana mampu beri ruang kepadanya memberikan perhatian kepada tiga anaknya yang bersekolah di sekolah kebangsaan (SK).

Katanya, pemansuhan itu sesuai dengan situasi sekarang yang berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19.

"Sepatutnya pada seusia muda mereka diberi ruang membina personaliti tersendiri dan belajar pelbagai aspek kehidupan lain dan bukan semata-mata kepada peperiksaan itu," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seremban 2B, Muhammad Izuddin Ghazali, 40, berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan KPM itu.

Beliau berkata, dalam situasi Covid-19 ketika ini, keselamatan murid menjadi keutamaan.

"Jika berlaku kes Covid-19 di sekolah, ia membimbangkan ibu bapa dan pada masa sama perlu memberikan tumpuan kepada UPSR.

"Situasi ini memberi tekanan kepada mereka dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) menjadi pilihan terbaik sebagai langkah keselamatan.

"Ini menyebabkan fokus murid menghadapi UPSR terganggu. Justeru, amat tepat langkah KPM memansuhkan ujian itu," katanya.

Muhammad Izuddin yang juga kaunselor berkata, tidak wajar mengkategorikan keupayaan murid pada peringkat terlalu awal.

Menurutnya, pihaknya melihat ada kumpulan 90 peratus murid tidak cemerlang hasil dari keputusan UPSR menyebabkan mereka mula membina konsep kendiri yang lemah.

"Sebab itu UPSR hanya menjayakan 10 peratus murid, tetapi mengenepikan potensi 90 peratus murid lain," katanya.

Murid SK Seri Pagi Senawang, Nur Izzati Mohamed, 12, akui lega dengan pemansuhan UPSR itu.

"Kini saya tidak perlu terlalu memikirkan ujian itu selepas ia dimansuhkan, sebaliknya boleh belajar seperti biasa tanpa tekanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 6:00 AM