MOHD AZIZEE HASAN
MOHD AZIZEE HASAN
Mohd Amin Jalil

Seremban: Langkah pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dapat mengurangkan tekanan kepada murid selain membolehkan guru melihat perkembangan murid secara lebih holistik.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya menyambut baik hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memansuhkan ujian berkenaan yang menekankan aspek kognitif semata-mata.

"Kami menyambut baik langkah itu kerana pemansuhan UPSR akan menghilangkan trauma dan persepsi ibu bapa untuk mengukur kemenjadian anak-anak mereka berdasarkan orientasi peperiksaan semata-mata.

"Sebaliknya mereka perlu melihat setiap anak (murid) ada kelebihan dan potensi tersendiri jika dibangunkan dengan betul dan terancang. Ia sekaligus melahirkan insan yang mampu memberi sumbangan besar kepada masyarakat suatu hari nanti," katanya tadi.

Mohd Azizee berkata, bebanan guru untuk memastikan setiap murid memperoleh A dalam peperiksaan UPSR juga dapat dikurangkan, sebaliknya guru dapat mendidik serta mengembangkan bakat dan potensi murid secara holistik.

Menurutnya, pendidikan juga perlu bersiap siaga untuk mendepani cabaran guna tenaga masa depan yang berorientasikan revolusi industri 4.0.

"Orientasi peperiksaan juga kadangkala membawa sikap membanding beza antara murid sekali gus boleh melemahkan semangat dan rasa rendah diri mereka," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun perubahan itu diharap tidak menjadikan murid semakin malas disebabkan tiada persaingan untuk mengejar berapa A, tetapi menyubur potensi dan bakat murid yang memiliki kepelbagaian kecerdasan.

"Justeru, KPM diharap dapat menambah baik kaedah pentaksiran sedia ada untuk kemasukan ke sekolah pilihan seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) supaya meningkatkan peratusan murid dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 4:03 PM