FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohd Rozaimy Ridzuan

Sektor pelancongan adalah antara pemacu terpenting dalam ekonomi negara. Sektor ini menyumbang 15.9 peratus KDNK pada 2019 dengan jumlah peningkatan pelancong yang saban tahun meningkat terutama pelancong dari Singapura, Indonesia dan China. Sudah pasti tarikan yang ada di dalam negara menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang harus diterokai oleh pelancong. Dasar kerajaan yang mendukung sektor pelancongan menjadikan Malaysia antara destinasi pelancongan yang terbaik di dunia.

Ia dapat diselosori pelbagai dasar kerajaan termasuk Rancangan Jangka Panjang, Rancangan Lima Tahun Malaysia, Dasar Pelancongan Negara dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Usaha yang digembleng ini sudah pasti menampakkan sosok transformasi ekonomi negara di mana industri pelancongan berjaya beralih daripada low yield kepada high yield. Program seperti Malaysia My Second Home, Fabulous Food 1Malaysia, Go2Homestay dan sebagainya merancakkan lagi sektor pelancongan dalam negara.

Bagaimanapun, kehadiran pandemik Covid-19 menjejaskan hasil sektor pelancongan dengan kerugian dianggarkan melebihi RM100 bilion pada tahun ini. Majlis Tindakan Ekonomi Negara meramalkan sekurang-kurangnya empat tahun untuk industri pelancongan ini dipulihkan.

Demi hasrat untuk mengukuhkan industri pelancongan negara, kerajaan Malaysia baru-baru ini memperkenalkan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030.

Dasar ini dibangunkan menerusi enam teras strategik utama iaitu transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan bagi projek pelancongan yang inklusif, mempergiatkan digitalisasi pelancongan, memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua sub-sektor pelancongan.

Keunikan biodiversiti dan alam semula jadi yang ada di dalam negara membuatkan kerajaan terpanggil untuk memacu kelestarian sumber dengan memartabatkan program ekopelancongan. Usaha ini seharusnya dipuji kerana ia selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebenarnya ekopelancongan di Malaysia bukanlah perkara yang baru kerana ia mula diberi perhatian dan dibangunkan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK ke-7) serta RMK ke-8 dan dilaksanakan secara serius melalui penubuhan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan (2016-2025) pada 2015.

Ekopelancongan adalah aktiviti pelancongan berkonsepkan alam. Pelancong berpeluang merasai keunikan alam semula jadi di samping berhibur, merasai keseronokan dan menikmati keindahan alam.

Konsep ekopelancongan ini juga jika dijalankan dengan betul, ia seiring matlamat pelancongan yang digariskan Islam iaitu menambahkan iman dan beribadah kepada Allah SWT dengan cara memahami alam sebagai tanda kewujudan dan kebesaran Allah mentadbir alam.

Tinggal lagi usaha yang perlu dimainkan pelancong itu dengan cara meneroka alam secara berakhlak, minimumkan kesan sampingan, menjaga kebersihan alam dan sebagainya.

Namun, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi oleh negara tatkala kita sibuk mempertingkatkan sektor pelancongan dalam negara. Antaranya ancaman keselamatan dan jenayah terutama di perairan pantai di Sabah dan sempadan negara Thailand. Kerenah birokrasi dalam proses pemohonan visa juga menjadi halangan sehinggakan negara kehilangan ramai pelancong asing terutamanya dari China.

Agen pelancongan yang kurang mesra turut menjadi cabaran buat sektor pelancongan di negara di mana pelancong lebih gemar menjadikan Thailand sebagai destinasi pelancongan utama kerana layanan perkhidmatan pelancongan yang diberikan secara relatifnya baik. Kerosakan dan kemusnahan alam semula jadi turut merencatkan aktiviti pelancongan. Pencemaran, pembakaran hutan dan peningkatan jumlah sisa pepejal antara isu yang perlu diperhalusi dengan baik oleh kerajaan mahupun rakyat tempatan.

Keadaan infrastruktur dan kegiatan pelawat yang tidak diuruskan secara lestari melalui aktiviti ekopelancongan juga boleh membawa kesan negatif terhadap alam semula jadi seperti yang berlaku di Pulau Perhentian, Terengganu di mana kebanyakan terumbu karang terjejas teruk akibat aktiviti pelancongan yang tidak terkawal.

Seharusnya, pembangunan industri pelancongan tidak harus dilihat dari aspek pembangunan fizikal seperti pembangunan infrastruktur dan fasiliti semata-mata.

Penyediaan kursus dan latihan perlu diberikan dan dipertingkatkan bagi melatih tenaga kerja mahir dan separuh mahir bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pelancongan agar mesra pelancong terutama dalam aspek komunikasi dan kebolehan menguasai bahasa antarabangsa.

Kerajaan juga perlu menyediakan garis panduan yang mudah difahami dan menerangkanya kepada pelancong supaya mereka tahu etika melancong untuk mengurangkan kesan buruk pelancong terhadap biodiversiti.

Selain itu, sektor kerajaan dan swasta perlu memainkan peranan yang lebih bagi menjadikan negara sebagai destinasi pelancongan antarabangsa pilihan dunia.

Imej negara perlu dijaga dari segi komunikasi, papan tanda dan keseluruhan pemandangan dan kebersihan.

Sudah pasti, DPN ini perlu diselaraskan dengan dasar-dasar kerajaan yang lain seperti Dasar Kebersihan Negara, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan, Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Dasar Keselamatan Negara supays sinergi sektor pelancongan dapat dipertingkatkan tanpa merobek ekosistem yang lain.

Rakyat pula perlu mengembalikan roh etika yang kita pernah kecapi dahulu ketika rakyat Malaysia terkenal di seantero dunia sebagai rakyat yang peramah dan berbudi bahasa.

Buat masa ini, kita perlu jaga kita supaya pandemik Covid 19 beransur pulih supaya sektor pelancongan berupaya untuk rancak kembali.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 7:00 AM