Sugu Pavithra.
Sugu Pavithra.
minda

PASANGAN Sugu Pavithra menikmati populariti dalam tempoh masa yang sangat singkat. Mereka mula menarik perhatian ramai termasuk pemimpin utama negara apabila video masakan mereka yang dimuat naik di Youtube menjadi tontonan ramai sehingga mendapat gelaran selebriti masakan.

Namun, umpama pepatah, disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari, nama, imej dan populariti yang dicipta dan diraih begitu pantas itu hampir hilang dalam sekelip mata apabila Sugu terpalit kontroversi sehingga ditahan polis kerana memukul isterinya serta turut didakwa atas kesalahan memiliki senjata berbahaya.

Senario ini menunjukkan golongan selebriti baik selebriti masakan, sukan mahupun artis terutamanya muka baru atau Budak Baru Nak Up (BBNU) yang muncul secara tiba-tiba dalam masyarakat kita perlu bijak menguruskan populariti yang diraih.

Isu kontroversi membabitkan selebriti seperti ini bukanlah perkara baru di negara kita kerana sudah banyak kejadian sebelum ini seperti kontroversi membabitkan beberapa artis dan ahli sukan yang popular dan diperdebatkan secara terbuka.

Jadi, prinsipnya, setelah menjadi popular golongan ini perlu bijak membawa diri supaya dapat membalas kepercayaan yang diletakkan oleh peminat masing-masing. Hakikatnya kita boleh lihat sekarang ramai figura baru dan muda muncul mencipta nama dan populariti dalam pelbagai bidang dalam tempoh masa singkat. Pelbagai medium seperti Youtube dan Instagram misalnya, banyak membantu menonjolkan muka-muka baru yang terserlah bakat dalam bidang masing-masing.

Akhirnya, ramai juga yang terus diangkat sebagai ikon serta menjadi idola sehingga boleh tertubuh kelab peminat. Walaupun perkembangan ini sihat, namun kelompok ini perlu waspada dan sentiasa berhati-hati kerana setiap gerak langkah mereka menjadi perhatian media dan juga anggota masyarakat. Jika tersilap langkah, populariti yang dicipta itu boleh musnah dalam sekelip mata.

Harus diingat mempertahankan populariti itu lebih sukar dan mencabar berbanding menciptanya. Justeru, bagi memastikan mereka ini kekal popular dan menjaga nama serta imej masing-masing, perlu mematuhi dan mengamalkan beberapa petua dan tip yang sewajarnya.

Antaranya, mesti jaga sikap dan tingkah laku sepanjang masa. Sedarlah kini kita menjadi figura atau selebriti yang ada pengikut dan sentiasa menarik perhatian awam. Jadi, pastikan kita jaga dan kawal aspek pergaulan, perbuatan, komunikasi serta disiplin terutamanya di khalayak.

Ini penting demi memelihara nama dan imej baik kita. Ingat, ada saja mata yang sentiasa memerhatikan kita.

Kita juga perlu membezakan aspek profesionalisme dan urusan peribadi supaya setiap tindakan dan keputusan yang dibuat itu lebih matang dan tidak sama sekali dipengaruhi faktor emosi dan perasaan.

Misalnya, dalam kes pasangan Sugu Pavithra sebagai suami isteri mereka perlu menjaga hubungan kekeluargaan di samping memastikan apa jua masalah rumah tangga mereka itu tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai YouTuber popular. Walaupun kelihatan sukar namun itulah peraturan asas dan disiplin diri yang boleh membantu kita fokus dan berjaya dalam bidang yang diceburi. Di samping itu, kelompok ini juga perlu mahir dan bijak mengurus aspek tekanan yang berpunca dari populariti mereka.

Hakikatnya, populariti boleh memberikan tekanan yang cukup kuat kepada setiap selebriti. Antara tekanan yang diterima ialah, kita tidak boleh gagal atau membuat kesilapan kerana peminat sentiasa mahukan yang terbaik dan sempurna daripada kita, setiap gerak geri pula menjadi perhatian dan perdebatan awam serta kehidupan peribadi kita juga bukan lagi menjadi rahsia.

Senario ini pasti memberikan tekanan yang hebat dan kita perlu bersedia untuk menghadapinya dengan tenang dan rasional.

Jika perlu, adalah disyorkan untuk mengikuti kursus tertentu atau berjumpa dengan pakar yang boleh mengajar kita cara untuk menangani tekanan seperti ini. Pada masa sama, kita juga tidak boleh terlalu cepat merajuk, melenting atau makan hati dengan komen, kritikan serta pandangan peminat dan orang awam baik terhadap diri dan kehidupan kita mahupun berkaitan prestasi yang ditonjolkan. Kita perlu sedar masyarakat mempunyai hak mengeluarkan apa jua pandangan tentang kita dan terserah kepada kita bagaimana mahu menerimanya. Sudah pasti tidak semua orang akan suka dengan kita serta memberikan maklum balas yang baik dan positif atau memuji sepanjang masa.

Oleh itu, kita perlu sentiasa bersedia untuk menerima dengan hati yang terbuka apa jua pandangan dan komen anggota masyarakat terutamanya dalam media sosial.

Tip yang paling mudah, komen yang negatif kita abaikan atau tidak perlu layan, manakala komen, pandangan atau nasihat yang positif dan membina kita raikan.Dalam konteks sama, selebriti juga perlu bijak mengurus dan mengawal media sosial masing-masing.

Kita faham media sosial platform paling penting kepada semua selebriti dan juga mudah menarik perhatian para peminat. Justeru, elaklah memuat naik kenyataan, gambar atau video yang kontroversi mahupun sensitif sehingga mencetuskan kemarahan peminat yang akhirnya boleh menjejaskan imej kita.

Peraturan mudah ialah, tidak perlu hal-hal peribadi dikongsi dalam media sosial kerana ia lebih banyak mengundang kontroversi serta kecaman dari peminat.Golongan selebriti juga mahu tidak mahu perlu belajar menjadi ikon atau idola peminat masing-masing. Ingat, bukan mudah kita boleh mendapat gelaran seperti itu dan menarik peminat yang ramai untuk menyokong kita.

Semoga kontroversi yang melanda beberapa selebriti menjadi iktibar dan pengajaran kepada semua supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama. Ingat, peminat dan pengikut anda meletakkan harapan dan kepercayaan yang tinggi, jadi jangan menghampakan dan mengecewakan mereka begitu saja.

Penulis pentadbir di sebuah universiti awam dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 8:00 AM