Pasangan Instafamous berusia lingkugan 20an suami isteri Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25 dan Azharique Shah Abdul Jalil, 23, masing-masing dipenjara sehari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur  selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri untuk berbulan madu ketika. FOTO FATHIL ASRI
Pasangan Instafamous berusia lingkugan 20an suami isteri Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25 dan Azharique Shah Abdul Jalil, 23, masing-masing dipenjara sehari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri untuk berbulan madu ketika. FOTO FATHIL ASRI
Noor Mohamad Shakil Hameed

Hukuman penjara sehari dan denda RM2,500 yang dikenakan terhadap seorang selebriti media sosial dan suaminya yang mengaku bersalah memberi maklumat palsu kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri untuk berbulan madu wajar menjadi peringatan dan iktibar kepada golongan selebriti.

Bagi anggota masyarakat ia membabitkan soal integriti dan kejujuran seorang individu yang bertaraf selebriti serta popular dan berpengaruh.

Ironinya banyak lagi kes seumpama ini dilaporkan berlaku membabitkan golongan selebriti berkaitan soal pelanggaran terhadap peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam usaha untuk menangani wabak Covid-19 di negara kita.

Lebih mengecewakan apabila segala tindak-tanduk seperti itu tidak berakhir untuk peribadi sebalinya dimuat naik pula dalam media sosial untuk tatapan umum.

Ini satu tindakan yang tidak wajar sama sekali kerana mereka gagal untuk menjaga sensitiviti anggota masyarakat yang cukup terkesan dengan pelbagai SOP yang sedang berkuat kuasa, khususnya larangan rentas negeri serta SOP penganjuran majlis yang ketat.

Secara umumnya, golongan selebriti sentiasa menjadi tumpuan dalam kalangan anggota masyarakat.

Hal ini kerana mereka mempunyai pengaruh dan pengikut masing-masing sehinggakan apa saja yang mereka buat mudah menjadi ikutan pengikut mereka.

Jadi sepatutnya golongan ini menjadi suri teladan kepada semua baik dari segi sikap, amalan dan tingkah laku yang menjurus ke arah kebaikan.

Ringkasnya, mereka perlu berlaku jujur dan adil kepada diri dan juga anggota masyarakat sekali gus elak terbabit dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan reputasi dan integriti mereka.

Harus diingat populariti dan pengikut yang dimiliki dan dibanggakan oleh seseorang selebriti itu boleh lesap dalam sekelip mata jika anggota masyarakat mula hilang kepercayaan dan keyakinan kepada mereka.

Jadi tindakan seperti melanggar SOP serta mengemukakan maklumat palsu kepada pihak berkuasa adalah antara perbuatan yang sangat tidak wajar dan mencetuskan kemarahan dalam kalangan anggota masyarakat.

Ini pastinya akan mencalar imej dan reputasi mereka, di samping bagi yang menjual produk seperti usahawan kosmetik, insiden seperti ini kemungkinan besar akan turut menjejaskan perniagaan mereka.

Justeru, kita berharap golongan selebriti akan mengambil iktibar dengan kejadian seperti ini sekali gus sentiasa memelihara integriti diri masing-masing.

Di kesempatan ini kita memohon agar golongan selebriti turut sama membantu pihak berkuasa dalam usaha untuk menangani penularan wabak covid-19 di negara kita.

Hal ini sangat signifikan kerana selebriti boleh menggunakan pengaruh mereka untuk memberi peringatan dan nasihat kepada peminat masing-masing.

Misalnya, pihak berkuasa sedang bimbang dengan situasi di mana masih ramai yang tidak mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ini pastinya akan menjejaskan dan melambatkan usaha kerajaan untuk mengawal dan mencegah penularan wabak menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Saya percaya golongan selebriti boleh memainkan peranan yang besar dalam hal ini. Antaranya, boleh berkempen dalam kalangan peminat untuk segera mendaftar supaya dapat menerima suntikan vaksin.

Dalam hal ini selebriti boleh bertindak sebagai jurucakap atau duta program imunisasi secara sukarela dengan tampil memberikan penerangan tentang tatacara pendaftaran vaksin serta kebaikan dan kelebihan program imunisasi ini.

Ia penting kerana masih ramai yang keliru dan ada juga yang bimbang dengan suntikan vaksin ini berpunca dari pelbagai tohmahan yang disebarkan oleh golongan anti vaksin.

Justeru, kita berharap agar golongan selebriti akan tampil berjumpa sendiri dengan pihak berkuasa dan menawarkan diri untuk membantu secara sukarela demi keselamatan semua.

Di samping itu, memandangkan trend jangkitan kes semakin membimbangkan termasuk peningkatan kluster pendidikan dan dilaporkan ia berpunca dari sikap anggota masyarakat yang semakin leka dan alpa untuk mematuhi SOP yang ditetapkan, golongan selebriti juga boleh turun padang berkempen dan mengingatkan anggota masyarakat untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

Misalnya turunlah ke Bazar Ramadan dan Aidilfitri atau ke sekolah untuk memberi peringatan kepada masyarakat dan anak-anak kita.

Bayangkan apa perasaan anggota masyarakat mahupun murid sekolah jika ada selebriti secara tiba-tiba datang berbual sambil mengingatkan kepentingan mematuhi SOP? Pasti auranya cukup terkesan dan memberi impak yang besar.

Namun, sedihnya, setakat ini belum ada selebriti yang kelihatan turun ke lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan ramai seperti itu untuk tujuan berkenaan secara sukarela.

Secara prinsipnya kita mahu golongan selebriti tidak menyalahguna kedudukan sehingga menjejaskan integriti mereka, sebaliknya gunakanlah pengaruh yang ada untuk sama-sama membantu pihak berkuasa mendidik anggota masyarakat khususnya dalam soal pendaftaran vaksin dan penjagaan SOP.

Percayalah, dalam era pandemik ini, peranan setiap lapisan anggota masyarakat itu penting dalam menangani penularan wabak.

Tuntasnya, jadilah suri teladan yang baik kepada peminat anda.

Jaga etika, sikap dan tingkah laku melalui amalan integriti yang tinggi supaya para peminat akan sentiasa menghormati kita.

Ingat, membina reputasi dan imej itu akan memakan masa yang lama, tetapi ia boleh runtuh dalam sekelip mata andai kita tersilap langkah dan hilang nilai integriti.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 6:01 AM