ROZAIDI. FOTO Arkib NSTP
ROZAIDI. FOTO Arkib NSTP
Nurul Husna Mahmud

Sejak sekian lama, isu artis terpalit dengan pelbagai kontroversi sering dikaitkan sebagai usaha untuk mendapat perhatian masyarakat khususnya peminat.

Ada yang berpendapat, selebriti dan kontroversi tidak dapat dipisahkan serta perlu mencipta persepsi baharu bagi mengekalkan populariti sedia ada.

Membincangkan isu ini, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), ROZAIDI JAMIL berpandangan banyak lagi sisi baik yang perlu ditonjolkan selebriti tempatan bagi menjaga imej industri seni.

Wartawan Metro Ahad, NURUL HUSNA MAHMUD berkongsi pandangan itu dalam Kafe Ahad minggu ini.

Isu artis terlajak cakap menjadi bualan sejak dulu. Apa komen saudara?

Ini mungkin disebabkan beberapa faktor seperti kurangnya perhatian media, dan masyarakat terhadap kehidupan artis itu, dan struktur budaya yang memberikan penekanan kepada kontroversi menarik. Selalunya isu kontroversi menjadi bualan atau tumpuan utama dalam media massa dan masyarakat berbanding kebaikan atau pencapaian seni seseorang artis itu mungkin kurang diberi perhatian.

Dengan teknologi media yang canggih pada zaman ini, maklumat mudah dicapai di pelbagai platform lebih-lebih lagi maklumat boleh dicapai melalui telefon.

Ada yang mengatakan artis dan kontroversi tidak dapat dipisahkan. Apakah benar begitu?

Betul. Kontroversi adalah salah satu tools kepada publisiti. Dunia artis ini adalah dunia perhatian orang ramai, jadi segala tindak tanduk atau sikap mereka diperhatikan masyarakat mungkin boleh menjadi ikutan, tetapi dalam soal ini masyarakat perlu bijak menilai mana yang baik mana yang buruk.

Artis yang membuat kontroversi ini mungkin ada pelbagai sebab, bagi tujuan pemasaran, menonjolkan diri untuk perhatian atau sengaja mencipta kontroversi supaya boleh melakukan perkara yang di luar norma sosial kehidupan. Dengan perubahan teknologi yang semakin moden perubahan budaya juga boleh berlaku. Merujuk di Malaysia perkara atau isu negatif akan lebih mendapat perhatian berbanding isu yang lebih positif.

Bagaimana seseorang selebriti bercakap di luar konteks boleh memberi gambaran buruk kepada industri?

Ketika seorang selebriti bercakap di luar konteks atau membuat kenyataan kontroversi, ia dilihat
sebagai perkara negatif pada industri dan komuniti. Bila suatu kontroversi berlaku di zaman media digital ini perhatian atau tular maklumat akan di sebarkan secara cepat dan berleluasa lebih-lebih lagi maklumat ini dikeluarkan oleh orang yang dikenali.

Kesannya imej mereka akan jatuh. Keduanya kurangnya keyakinan dan hormat masyarakat terhadap selebriti itu, ketiga sekiranya kontroversi itu membabitkan 3R, kecaman dan penghinaan mungkin boleh berlaku. Tentunya boikot masyarakat terhadap selebriti yang membuat kontroversi ini akan menjejaskan reputasi, perniagaan atau jika mereka dilantik sebagai duta produk, penaja dan sebagainya.

Selaku persatuan yang menaungi artis, apakah saranan Seniman kepada penggiat seni berhubung isu ini?

Seniman yang mewakili atau menaungi artis, terdapat beberapa saranan yang boleh membantu penggiat seni yang terkait dalam isu kontroversi ini, memainkan peranan meningkatkan kesedaran dalam memberikan pendidikan. Contohnya bengkel yang berkaitan komunikasi. Ini termasuk memahami etika dari kata-kata dan tindakan mereka terhadap kesan pada industri dan masyarakat secara keseluruhan.

Selain itu, Seniman dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital dan juga agensi kerajaan yang terbabit untuk menyediakan program bimbingan, terutama kepada mereka yang lebih baru dalam industri, termasuk kesedaran tentang isu sensitif dan cara terbaik untuk menghindari kontroversi yang tidak perlu.

Bagaimana untuk memastikan isu mulut celupar tidak akan berulang pada masa depan?

Saya cadangkan beberapa langkah antaranya memberikan kesedaran kepada artis supaya aspek seperti sensitiviti budaya, pemahaman isu sosial, dan akibat dari pernyataan yang kontroversi.

Kedua, menekankan etika semasa berkomunikasi ini akan membantu mengembangkan dan menyebarkan etika yang jelas kepada artis terutama artis baru dan akan memberikan panduan tentang perilaku yang diharapkan dalam berkomunikasi di media sosial, dalam wawancara, dan dalam kehidupan harian.

Selain itu kita perlu mewujudkan ikon atau mentor sebagai pembimbing bagi artis baru atau yang memerlukan maklumat dan panduan tambahan.

Seterusnya, memberi ruang untuk berdiskusi tentang isu yang mungkin menjadi sumber kontroversi dan pertukaran pandangan serta pemahaman yang lebih baik.

Artis juga perlu bijak memilih perkataan, bertanggungjawab merangkumi pengelolaan privasi, pemahaman batasan dalam memberi pandangan, dan cara berinteraksi secara positif dengan masyarakat.

Akhirnya, mereka perlu bertanggungjawab dengan kenyataan kontroversi yang dibuat termasuk memberikan penjelasan, justifikasi atau membuat permohonan maaf jika kenyataan mereka disalah anggap atau menyebabkan ketidakselesaan masyarakat awam khususnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 7:30 AM