GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Mohamad Shakil Hameed

Kontroversi membabitkan seorang pendakwah selebriti muda mula mencetuskan pelbagai persoalan apabila bilangan laporan polis diterima terhadap suspek di sekitar Lembah Klang semakin meningkat dan mengejutkan khalayak.

Walaupun suspek belum terbukti bersalah, secara jujurnya ini adalah satu situasi yang cukup menyedihkan kerana imej agama Islam turut tercemar kerana insiden seperti ini.

Dalam hal ini, timbul persoalan sejauh mana pihak berkuasa agama di negara ini mengawal dan memantau program realiti berbentuk keagamaan di televisyen yang menggunakan pelbagai gelaran dan melahirkan golongan pendakwah muda yang muncul umpama cendawan selepas hujan secara ekspres.

Ironinya, ini bukan kes pertama yang berlaku di negara kita. Sebelum ini sudah ada beberapa kes kontroversi seumpama ini yang berlaku membabitkan golongan pendakwah ekspres seperti ini.

Mereka ini lahir hasil beberapa program realiti TV yang berpaksikan keagamaan. Golongan ini meraih populariti dengan mudah dan pantas melalui program realiti TV dan akhirnya terpalit dengan pelbagai kontroversi apabila gagal mengawal diri dan tidak bijak mengurus populariti yang diperolehi dalam sekelip mata.

Kita akui ramai juga dari kalangan pendakwah muda yang lahir secara ekspres ini berbakat besar dan berpotensi menjadi seorang pendakwah namun segelintir yang terpalit seperti ini mencemarkan nama baik semua yang lain.

Tindakan segelintir mereka yang menggunakan agama atau menjadi penunggang agama amat dikesali. Apa yang lebih mengecewakan ialah tindakan seumpama ini menyebabkan imej agama Islam turut tercemar terutamanya pada pandangan orang bukan Islam.

Hakikatnya bukan mudah untuk menjadi seorang pendakwah. Gelaran pendakwah itu tidak boleh diperolehi dalam sekelip mata apatah lagi melalui program realiti TV.

Tegasnya, tiada istilah pendakwah atau ustaz ekspres. Jadi golongan ini perlu sedar perjalanan mereka masih jauh dan banyak lagi yang perlu dipelajari sebelum benar-benar dinobatkan sebagai seorang pendakwah. Justeru, jangalah mudah hanyut dengan populariti yang diraih dalam sekelip mata. Justeru, kita berharap pihak berkuasa agama akan melihat isu ini secara serius demi memelihara nama dan imej agama Islam serta para agamawan yang lain.

Tuntasnya, kelahiran pendakwah ekspres perlu dikawal melalui garis panduan yang jelas.

Misalnya, jika sesuatu rancangan itu hanya bertujuan untuk meraih populariti dan keuntungan semata-mata, maka pihak berkuasa agama perlu campur tangan dan tidak membenarkan ia diadakan.

Malah, penggunaan pelbagai gelaran dalam program pertandingan di televisyen seperti ini juga perlu diteliti supaya ia tidak memberikan gambaran atau konotosi yang tidak tepat.

Dalam konteks ini, pihak berkuasa agama perlu memantau dan wajar berkerjasama rapat dengan penerbit rancangan bagi memastikan pendakwah yang dilahirkan itu benar-benar berkualiti dan boleh menjadi suri teladan kepada masyarakat terutamanya golongan belia.

Untuk itu, dicadangkan pihak berkuasa agama membentuk sebuah jawatankuasa pemantauan khas program realiti televisyen yang berbentuk keagamaan bagi menilai, memberi kelulusan dan memantau pelaksanaannya secara menyeluruh.

Pada masa sama, kita juga berharap supaya penganjur program realiti TV akan menilai semula keperluan dan keberkesanan penganjuran rancangan seperti ini.

Beri perhatian yang serius dalam soal pemilihan peserta.

Memiliki rupa paras yang menarik, ada kelulusan dalam bidang agama serta pandai bercakap berkaitan agama atau boleh menjawab soalan yang berkaitan tidak boleh dijadikan ukuran dan kriteria utama pemilihan peserta.

Untuk menjadi pendakwah, seseorang individu itu mesti mempunyai pakej yang lengkap terutamanya dari segi integriti diri serta budi pekerti yang unggul.

Hal ini penting kerana integriti dan budi pekerti membabitkan soal sikap dan tingkah laku dan aspek ini wajar diberi perhatian yang lebih kerana yang tampan, pandai bercakap dan ada ilmu agama belum tentu memiliki sikap dan tingkah laku yang baik dan terpuji.

Penganjur juga tidak boleh lepas tangan setelah sesuatu program itu tamat, sebaliknya perlu terus memikul tanggungjawab membantu golongan muda ini untuk menjaga diri dan mengurus populariti dengan bijak.

Mereka ini walaupun ada ilmu agama, namun masih terlalu muda dan mentah dari segi usia, pengalaman dan juga sepak terajang dunia dakwah yang sebenar.

Sewajarnya mereka terus diletakkan di bawah program bimbingan dan didikan oleh pendakwah dan agamawan yang lebih senior dan berpengalaman untuk suatu tempoh masa yang bersesuaian sebelum 'dilepaskan' sepenuhnya.

Dengan cara ini, kita dapat membentuk mereka menjadi seorang pendakwah yang benar-benar layak mengajar orang lain, sekali gus boleh menjadi suri teladan kepada anggota masyarakat.

Ringkasnya, kita tidak mahu rancangan realiti TV melambakkan pendakwah ekspres yang tiada integriti dalam masyarakat.

Hal ini penting kerana angota masyarakat terutamanya golongan wanita dan belia terlalu mudah mempercayai pendakwah ekspres seperti ini yang popular dalam sekelip mata dan menjadikan kelompok ini sebagai idola mereka.

Jadi, jika kita tidak mengawal kelahiran pendakwah ekspres seperti ini, dikhuatiri akan lahir lebih ramai lagi penunggang agama yang cuba mengambil pelbagai kesempatan terhadap anggota masyarakat atas gelaran 'pendakwah' dan 'ustaz'.

Penulis adalah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 7:10 AM